TOKYO: Pihak penguasa Jepun semalam menghentikan sementara operasi mencari berpuluh-puluhan mangsa para pelaut yang masih hilang dari kapal kargo karam dalam ribut taufan, disebabkan gelombang besar dan angin kencang telah menghalang daripada meneruskan operasi pencarian.
Pada Jumaat lepas, pasukan pengawal pantai telah menemui mangsa kedua terselamat selepas kapal kargo Gulf Livestock 1, yang membawa 6,000 ekor lembu dan 43 kru kapal, membuat panggilan kecemasan pada Rabu ketika sedang belayar di perairan Laut China Timur di sebelah barat Pulau Amami-Oshima di wilayah Kagoshima ketika Taufan Maysak melintasi kawasan tersebut.
Taufan Haishen, ribut yang paling kuat sekali, dijangkakan akan melanda Jepun semalam, dengan kelajuan angin sehingga 290 kilometer sejam, menjadikannya sebagai ribut ‘kejam’ – pada tahap tertinggi dalam skala klasifikasi negara.
“Kami telah meneruskan operasi pencarian pagi ini dengan menggunakan kapal terbang, namun tidak menjumpai sebarang petunjuk,” kata seorang pegawai pengawal pantai tempatan.
“Buat sementara waktu, kami mencadang untuk menghentikan seluruh operasi pencarian ” sehingga Taufan Haishen berlalu, ujar pegawai tempatan kepada AFP. Ribut tersebut diramal bakal melanda negara itu pada Isnin.
Mangsa pertama yang terselamat dijumpai pada petang Rabu, diikuti dengan penemuan mangsa kedua iaitu salah seorang kru kapal tersebut pada Jumaat.
Kementerian Luar Filipina mengatakan bahawa kedua-dua mangsa terselamat tersebut merupakan warga Filipina, dan ahli keluarga mereka juga telah dihubungi mengenai perkara berkenaan.
Kru kapal kargo terbabit terdiri daripada 39 rakyat Filipina, dua warga New Zealand, manakala dua lagi warga Australia.
Sebelum ini, bot yang dilaporkan mengalami masalah enjin juga berlayar dari Napier di New Zealand menuju ke Tangshan, pelabuhan China.
Haishen dilaporkan telah melanda Okinawa di selatan Jepun pada sebelah pagi dan diramal bakal beralih ke utara menuju ke barat Kyushu, dan berikutan itu, pihak kerajaan telah mengeluarkan amaran kepada para penduduk sekitar supaya bersiap siaga. – AFP