
KUCHING: Kaedah pengajaran berpasukan atau ‘co-teaching‘ bersama dua guru dalam satu kelas adalah antara pendekatan baharu bakal dilaksanakan dalam Kurikulum Persekolahan 2027, yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan (KPM) di seluruh negara bagi menekankan keseimbangan antara pencapaian akademik dan pembentukan karakter pelajar.
Presiden Persatuan Sekolah Rendah Cina Bantuan Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian, Dato Jonathan Chai Voon Tok, berkata matlamat kementerian untuk meningkatkan tumpuan pelajar dan menutup jurang pembelajaran wajar dipuji, namun pelaksanaan sebenar model itu perlu diteliti dengan lebih mendalam.
“Kaedah dua guru terlatih mengajar bersama dalam satu bilik darjah bukan sekadar seorang sebagai pembantu, boleh membantu memperkukuh pembelajaran individu dan meningkatkan penglibatan pelajar. Namun, cabaran boleh timbul sekiranya kedua-dua guru mempunyai falsafah, pendekatan atau gaya pengurusan kelas yang berbeza,” katanya ketika dihubungi semalam.
Menurut beliau, kekurangan tenaga pengajar yang berkelayakan ketika ini turut menjadi faktor yang perlu diambil kira kerana pelaksanaan model tersebut berisiko memburukkan lagi isu kekurangan guru jika tiada strategi berkesan dilaksanakan bagi memastikan bekalan guru mencukupi.
Bagaimanapun, Jonathan menyambut baik usaha KPM yang mula menyediakan guru melalui latihan dan program pembangunan profesional. Katanya, pendekatan berhati-hati dan berfasa perlu diambil sebelum dilaksanakan di seluruh negara.
“Model ini wajar dilaksanakan secara rintis terlebih dahulu dengan garis panduan yang jelas mengenai pembahagian peranan, sokongan berterusan kepada guru, serta kriteria penilaian yang boleh diukur. Hanya selepas hasilnya dinilai dan penambahbaikan dibuat, barulah ia diperluas secara menyeluruh,” jelasnya.
Beliau menegaskan, bagi memastikan kejayaan model pengajaran bersama ini, aspek penting seperti pengambilan guru mencukupi, ruang bilik darjah yang sesuai serta pembiayaan berterusan perlu diberi perhatian serius.
“Dengan perancangan teliti, pemantauan rapi dan pelaksanaan berperingkat, model ini berpotensi meningkatkan keberkesanan pengajaran. Namun, jika dilaksanakan terlalu awal tanpa menangani isu asas tersebut, ia mungkin menimbulkan lebih banyak cabaran daripada manfaat,” tambahnya.