Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Sarawak tekad pacu pembangunan melalui RMK13
  • TEMPATAN

Sarawak tekad pacu pembangunan melalui RMK13

Utusan Sarawak 11 hours ago
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada Sidang Kelima Konvokesyen Ke-29 Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) di Dewan Tunku Abdul Rahman Putra, Unimas. 

KOTA SAMARAHAN: Kerajaan Sarawak bertekad mempercepat pembangunan negeri menerusi pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) 2026–2030 yang akan menjadi pemangkin utama ke arah merealisasikan matlamat Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).

Menurut Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, RMK13 akan menjadi pelan lima tahun penting bagi memperkukuh asas pertumbuhan ekonomi negeri, sekali gus mempercepat kemajuan ke arah masyarakat makmur, inklusif dan lestari.

“RMK13 memberi tumpuan kepada 15 sektor utama termasuk tenaga boleh diperbaharui, industri minyak dan gas, karbon serta teknologi semikonduktor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sidang Kelima Konvokesyen Ke-29 Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) di Dewan Tunku Abdul Rahman Putra, Unimas hari ini.

Tambah beliau, rancangan itu turut menegaskan komitmen kerajaan negeri memastikan pertumbuhan mampan serta adil bagi semua rakyat tanpa mengira latar tempat.

“Fokus utama RMK13 ialah memanfaatkan teknologi canggih, tenaga hijau dan transformasi digital bagi mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi serta meningkatkan kualiti hidup rakyat Sarawak.

“Sarawak kini melangkah dengan yakin selepas menunjukkan prestasi ekonomi kukuh pasca pandemik dengan hasil negeri meningkat daripada RM7.6 bilion pada 2021 kepada RM14.2 bilion pada 2024.

“Pengiktirafan Bank Dunia terhadap Sarawak sebagai wilayah berpendapatan tinggi sejak 2023 membuktikan transformasi struktur ekonomi negeri sedang membuahkan hasil,” jelasnya.

Beliau menegaskan matlamat kerajaan jelas memastikan setiap inisiatif di bawah PCDS 2030 memberi kesan nyata dan memperluas peluang kepada semua rakyat.

“Kerajaan menyasarkan KDNK negeri digandakan daripada RM148.2 bilion kepada RM282 bilion menjelang 2030,” katanya.

“Pembangunan pesat bukan hanya tertumpu kepada sektor ekonomi, malah turut meliputi peningkatan infrastruktur, pendidikan dan modal insan.

“Sebanyak 62 peratus tenaga Sarawak kini datang daripada sumber boleh diperbaharui dan disasarkan meningkat kepada 10 gigawatt menjelang 2030,” tambahnya.

Dalam ucapannya kepada para graduan, Douglas menggesa agar mereka memainkan peranan aktif dalam meneruskan agenda transformasi negeri menuju 2030.

“Anda semua melangkah ke dalam Sarawak yang yakin, berdaya saing dan terbuka kepada bakat muda.

“Gunakan ilmu dan kemahiran yang dimiliki untuk membantu membentuk masa depan Sarawak yang lebih makmur dan lestari,” tambahnya.

Oleh Masrin Affirah

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Forum ‘Women of Impact 2025’ galak perubahan sosial bermakna
Next: Muzium Budaya Borneo bukti keunikan Sarawak di pentas muzium global

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.