
KOTA PADAWAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak tampil menjelaskan cabaran sebenar yang dihadapi pasukannya ketika mengawal kebakaran di kilang tayar Batu 9, pada 30 Oktober lalu, susulan kritikan orang awam yang mendakwa operasi pemadaman berjalan lambat.
Pengarah Bomba dan Penyelamat Sarawak, Jamri Masran berkata, kebakaran yang berlaku pada Sabtu malam itu membabitkan bahan mudah terbakar termasuk tayar dan serbuk getah, menjadikan api sukar dikawal dan merebak dengan cepat.
“Pasukan kami menerima panggilan kecemasan pada 11.10 malam dan tiba di lokasi mendapati bahagian kiri premis telah terbakar. Api berjaya dikawal sepenuhnya sekitar 5.00 pagi,” katanya ketika ditemui media di lokasi kejadian, di sini, semalam.

Beliau menjelaskan, operasi pemadaman melibatkan 44 anggota termasuk bomba sukarela, dengan bantuan empat jentera serta sebuah jentolak daripada pihak berkuasa tempatan bagi membantu kerja memadam sisa kebakaran.
“Dalam kes seperti ini, kami menggunakan air sepenuhnya kerana ia masih mampu mengawal kebakaran. Buih biasanya digunakan untuk kebakaran melibatkan minyak, jadi penggunaan air lebih sesuai dan menjimatkan,” jelasnya.
Kebakaran yang dipercayai bermula dari bahagian kiri kilang itu menyebabkan 100 peratus struktur premis musnah, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Tambahnya, punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan Unit Forensik Bomba.
Terdahulu, premis berkenaan dilaporkan beroperasi tanpa lesen sah, menjadikan struktur serta susun atur bahan di kawasan itu berisiko tinggi dan menyukarkan usaha pemadaman.
Jamri turut mengimbas kejadian sama yang berlaku pada 2009 dan mengambil masa sebulan untuk dipadam sepenuhnya, namun kali ini api berjaya dikawal dalam tempoh lebih singkat walaupun tanpa bantuan hujan.
Oleh Adele Rissa