


SARAJEVO: Sekurang-kurangnya 10 terbunuh manakala 20 lagi cedera dalam kebakaran yang berlaku di Pusat Jagaan Warga Emas Tuzla di Bosnia dan Herzegovina (BiH) pada malam Selasa, lapor Xinhua memetik sumber media tempatan.
Kebakaran dilaporkan berlaku sekitar 8.45 malam (1945 GMT) di tingkat tujuh pusat jagaan berkenaan dan berjaya dikawal oleh anggota bomba serta sukarelawan dari Tuzla dan kawasan sekitar, menurut kenyataan rasmi pusat jagaan itu.
Pasukan perubatan dari beberapa pusat kesihatan tempatan memberikan rawatan awal kepada mangsa yang cedera, yang kemudiannya dirawat di Pusat Klinikal Universiti Tuzla.
Antara yang cedera termasuk penghuni pusat jagaan, kakitangan, anggota polis, bomba, serta pasukan perubatan.
Pihak berkuasa kini sedang menjalankan siasatan untuk menentukan punca kebakaran.- Bernama-Xinhua