
LONDON: Bintang Portugal dan Al Nassr, Cristiano Ronaldo, mendedahkan bahawa dia merancang untuk bersara ‘tidak lama lagi’ ketika bersedia menghadapi penamat karier gemilangnya yang penuh emosi.
Dalam wawancara bersama Piers Morgan Uncensored, Ronaldo berkongsi pandangan tentang persaraannya dan kehidupan selepas bola sepak.
Pemain berusia 40 tahun itu, yang telah menjaringkan 952 gol sepanjang karier, merupakan antara pemain paling berjaya dalam sejarah bola sepak — namun pengakhirannya kini semakin hampir.
Apabila ditanya bila dia akan menggantung but, Ronaldo yang masih mempunyai kontrak bersama Al Nassr hingga 2027 menjawab:
“Tidak lama lagi. Tapi saya rasa saya akan bersedia.
“Ia pasti sukar, sangat sukar. Mungkin saya akan menangis, ya. Saya seorang yang terbuka. Ia akan jadi sangat-sangat sukar.
“Tapi, Piers, saya telah mempersiapkan masa depan saya sejak umur 25, 26, 27 tahun. Jadi saya rasa saya mampu menghadapi tekanan itu.”

Ronaldo yakin dia mampu menyesuaikan diri tanpa bola sepak kerana mahu memberi tumpuan kepada keluarga dan minat lain di luar padang.
“Tiada apa yang dapat menandingi adrenalin menjaringkan gol,” katanya.
“Tapi setiap permulaan ada pengakhirannya. Saya ada minat lain. Saya mahu lebih banyak masa untuk diri sendiri, untuk keluarga, untuk membesarkan anak-anak saya.
“Saya mahu pantau Cristiano Junior kerana dia kini dalam usia di mana budak-budak suka buat perkara bodoh — saya pun begitu dulu. Mateo juga minat bola sepak.
“Saya mahu lakukan lebih banyak perkara menyeronokkan. Saya suka bermain padel bersama rakan-rakan rapat. Kami semakin mahir.”
Ronaldo memulakan kariernya bersama Sporting Lisbon sebelum menikmati kejayaan besar di Manchester United, Real Madrid dan Juventus.
Antara kejayaannya ialah tiga kejuaraan Liga Perdana Inggeris dan satu Liga Juara-Juara Eropah ketika tempoh pertama bersama United.
Selepas meninggalkan United buat kali kedua pada 2022, Ronaldo menyertai kelab Liga Pro Saudi, Al Nassr.
Dia masih mengikuti perkembangan Manchester United kerana hubungan baiknya dengan pengurus semasa kelab itu, Ruben Amorim — bekas rakan sepasukan di Portugal.
Namun pemenang lima kali Ballon d’Or itu mengingatkan penyokong United agar tidak mengharapkan keajaiban daripada Amorim yang sedang melalui tempoh sukar di Old Trafford.
“Dia buat yang terbaik,” kata Ronaldo.
“Apa lagi yang boleh dia buat? Keajaiban? Keajaiban itu mustahil.
“Dia bukan boleh buat keajaiban. Mereka ada pemain yang bagus, tapi ada yang tak faham apa maknanya Manchester United itu sendiri.
“Manchester United masih di hati saya. Saya sayang kelab itu. Tapi kita semua perlu jujur dan mengakui — mereka tidak berada di landasan yang betul. Mereka perlu berubah, dan bukan hanya jurulatih atau pemain yang perlu dipersalahkan.” – AFP