
KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa, Wilfred Yap, menafikan dakwaan terkini oleh Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak, Chong Chieng Jen, dan menyifatkannya sebagai tidak tepat.
Beliau berkata Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di bawah Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah mengambil langkah tegas bagi memperkukuh sistem penjagaan kesihatan Sarawak melalui Pelan Induk Kesihatan Awam Sarawak 2050 yang dilancarkan pada 9 April 2025.
Katanya, Sarawak bertekad membina sistem penjagaan kesihatan yang kukuh dan berdikari, sambil memastikan akses adil kepada perkhidmatan kesihatan berkualiti untuk semua rakyat negeri ini.
Yap menjelaskan pelan yang dibiayai kerajaan negeri itu mengenal pasti keperluan hospital dan klinik baharu, menaik taraf kemudahan sedia ada, serta mengembangkan perkhidmatan kesihatan luar bandar dan teleperubatan.

“Ini strategi jangka panjang dan menyeluruh untuk menutup jurang perkhidmatan serta mempersiapkan Sarawak menghadapi permintaan penjagaan kesihatan masa depan,” tambahnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa walaupun penjagaan kesihatan adalah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan, projek seperti Hospital Lawas dan Hospital Petra Jaya berjalan lancar kerana Kerajaan GPS secara konsisten mendesak pihak Persekutuan bertindak dan membantu memudah cara pelaksanaan di peringkat negeri.
Di bawah GPS, klinik luar bandar telah dinaik taraf melalui peruntukan negeri dan inisiatif teleperubatan diperluas untuk memberi perkhidmatan kepada komuniti terpencil, selaras usaha GPS menunaikan kemajuan berasaskan perancangan dan akauntabiliti.
“Sarawak memerlukan kepimpinan mantap dan berorientasikan hasil untuk menjaga kesihatan serta kesejahteraan rakyatnya,” tegas Yap.
Oleh Connie Chieng