


KUCHING: Sarawak terus memperkukuh usaha melindungi pengetahuan tradisional melalui pemeteraian Perjanjian Perkongsian Faedah (BSA) antara Majlis Biodiversiti Sarawak (SBC) dan lima komuniti Iban di bawah Projek Engkerebai.
Menurut Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, perjanjian itu menandakan satu lagi kejayaan penting dalam pelaksanaan Rangka Kerja Akses dan Perkongsian Faedah (ABS) di negeri ini.
“Sarawak merupakan negeri pertama di Malaysia yang melaksanakan rangka kerja ABS dan menandatangani perjanjian dengan komuniti pribumi bagi mewujudkan rantaian nilai ekonomi yang memberi manfaat kepada penduduk tempatan.
“Pindaan kepada Ordinan Majlis Biodiversiti Sarawak yang dibentangkannya pada Mei lalu membolehkan SBC menubuhkan anak syarikat BioVerde Technologies Sdn. Bhd. untuk mengkomersialkan hasil penyelidikan biodiversiti.
“Pindaan itu turut menyelaraskan undang-undang negeri dengan konvensyen antarabangsa seperti Protokol Nagoya yang mengiktiraf komuniti tempatan sebagai rakan kongsi dalam laluan komersial,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Perjanjian Perkongsian Faedah bagi Projek Engkerabai oleh SBC, di sini, semalam.
Roland Sagah menjelaskan bahawa SBC kini bekerjasama dengan agensi kerajaan negeri yang diterajui Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) untuk membangunkan rangka kerja tadbir urus data masyarakat pribumi.
“Melalui libat urus dan perundingan berterusan, Sarawak berhasrat menyumbang kepada dokumen penyerahan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berasaskan hak data dan kedaulatan komuniti asal.
“Penggabungan pengetahuan tradisional dengan sains moden penting bagi menghasilkan produk berasaskan penyelidikan yang berdaya saing di pasaran global.
“Penemuan saintifik dalam Projek Engkerebai yang mempunyai ciri pencerahan kulit dan anti-penuaan membuka peluang besar dalam industri kosmeseutikal bernilai tinggi,” jelasnya.
Beliau berkata pasaran global kosmeseutikal dijangka meningkat daripada AS$74 bilion pada tahun ini kepada AS$138 bilion menjelang 2032, sekali gus menggalakkan sektor swasta melabur dalam rantaian nilai hijau.
Dalam konteks pembangunan tenaga manusia, Roland Sagah menegaskan bahawa kejayaan industri berasaskan biodiversiti bergantung kepada tenaga kerja mahir dalam bidang sains, teknologi dan inovasi.
Beliau menyeru semua komuniti terus bekerjasama dalam meneroka potensi biodiversiti Sarawak supaya produk berasaskan pengetahuan tradisional “Made in Sarawak” mampu menembusi pasaran antarabangsa.
Oleh MASRIN AFFIRAH