
CERPEN ialah sebuah medium keterhubungan karya secara langsung dengan pengalaman pengarang dan juga pembacaannya.
Pembaca yang berpengalaman boleh menebak serba sedikit kecenderungan pengarang melalui pemilihan jalan ceritanya, pembinaan karakternya dan juga garapan bahasanya.
Justeru, cerpen “Lelap” ini, jika melalui autopsi karya, mudah untuk pembaca menebak bahawa ia ditulis oleh penulis pemula, seorang remaja yang masih melalui zaman persekolahan tetapi diladeni pengalaman pembacaan yang sedikit rencam berbanding rakan-rakan sebayanya.
Pertamanya, kita telaah dahulu bagaimana pengarang memulakan ceritanya:
“Dia tercungap-cungap. Penat rasanya berlari di hutan tebal yang gelap seperti tidak berpenghujung itu. Sesekali dia melirik ke belakang, seolah-olah ada makhluk yang mengejarnya. Dia meneruskan langkahnya sehinggalah kakinya terlanggar akar pokok yang membuatkan dia jatuh. Dia tidak mampu untuk bangun lagi. Sungguh penat dirinya. Derap tapak kaki semakin menghampiri. Dia hanya menundukkan kepala ke lantai hutan, pasrah dengan nasib yang bakal menimpanya.”
Permulaan seperti ini menampakkan kecenderungan menggarap cerita bak permulaan filem seram tipikal. Ia memulakan cerita dengan babak yang rinci, ayatnya ekonomikal serta padat.
Pengarang secara tidak langsung mencanang bahawa ini ialah sebuah cerpen seram yang bernuansakan elemen thriller, pembaca akan disuguhkan dengan babak-babak saspens yang mendebarkan.
Bahkan, permulaan seperti ini mencerminkan suatu pengalaman pembacaan karya-karya thriller dan seram yang banyak bermain dengan permulaan berfokus dan tidak nyata sebegini.
Meskipun ada pemilihan kata yang kurang baik hingga sedikit menjejaskan alur penceritaan, bolehlah dikatakan ceritanya bergerak lancar dengan pembahagian plot demi plot yang agak seimbang.
Rentak penceritaannya agak terjaga. Namun masih panjang perjalanan pengarang cerpen “Lelap” ini untuk menghasilkan sebuah cerpen yang betul-betul baik.
Sepertimana judulnya, “Lelap” ialah sebuah naratif yang mengungkapkan perihal sleep paralysis, iaitu watak utamanya mendepani kesusahan untuk mengatasi gejala kelumpuhan tidur yang serius.
Ia diburukkan lagi dengan keadaan ibu bapa watak utama tidak mempercayai kesusahan yang diharungi watak utama tersebut.
Kehadiran lembaga hitam yang menindih mangsa sewaktu tidur adalah suatu gambaran betapa teruknya gejala kelumpuhan tidur tersebut.
Penyampaian pengarang dalam menyusun naratif terdapat pincangnya. Tidaklah dapat dipastikan adakah cerpen ini ingin menjadi sebuah cerpen yang bertunjangkan mistik horror ataupun mahu menjadi sebuah cerpen saintifik yang cuba menggambarkan gejala kelumpuhan tidur dari sudut pandang sains.
Ia kelihatannya cuba untuk menjadi cerpen horror, tetapi dalam waktu yang sama, kesan horror-nya tidak begitu sampai.
Kepincangan ini bermula dengan ketidakpekaan pengarang terhadap kerangka waktu gerak cerita.
Untuk cerpen yang bermula dengan perenggan yang tegang dan rinci sebegitu rupa, ia sewajarnya ditulis dengan memendekkan kerangka waktu gerak cerita yang jelas, semisalnya sehari, dua hari atau seminggu.
“Suatu hari, Ryan sudah bersedia untuk tidur. Dia memastikan tempat tidurnya bersih sebelum dia merebahkan diri di atas katil empuk miliknya. Dia memandang siling, fikirannya jauh melayang. Hanyut dalam imaginasinya sendiri. Sedang dia berimaginasi, figura hitam tiba-tiba muncul. Merenungnya tajam.
Jika disoroti ayat di atas, tidaklah dapat dipastikan bilakah babak ini berlaku – “suatu hari” boleh jadi setahun, sebulan, seminggu atau hari esok lantas melenyapkan debar penceritaan yang seolah-olah menunjangi penceritaan melalui olahan perenggan pertama yang cukup padat dan berfokus.
Ayat “hanyut dalam imaginasinya sendiri” juga menampakkan penulisan yang semberono dan tidak berfokus – imaginasi itu harus diungkapkan dengan lebih nyata supaya ia berhubung dengan kemunculan “figura hitam”.
Imaginasi bagaimanakah itu? Adakah siling tetiba melendut membentuk “figura hitam”? Apakah sifat bilik yang boleh dimanfaatkan selaku objek ataupun medium kemunculan “figura hitam” tersebut?
Pengarang boleh merincikan lagi susun atur perabot di dalam bilik demi menambah intensiti penceritaan.
Menurut definisi Kamus Dewan Edisi Keempat, “figura” membawa maksud perwakilan (representasi) (terutamanya bentuk manusia) dalam lukisan atau ukiran.
Justeru, perkataan ini kerapnya diasosiasikan dengan objek ataupun patung. Menemukan perkataan “figura” selaku representasi “lembaga” mengurangkan impak seramnya.
Hal ini menyerlahkan keperluan pengarang untuk memperkayakan lagi kosa katanya dan ketelitian dalam penggunaan kata yang lebih tepat.
Hal ini mustahak sekiranya pengarang mahu memastikan keberkesanan suasana penceritaan yang disampaikan seiring seperti imaginasi dan harapannya sendiri.
Selaku cerpen pemula, ia cerpen yang baik kerana berhasil menjaga alur penceritaan agar konsisten lancar.
Lembaga hitam sering dimunculkan disusuli gambaran rinci keadaan ketika “figura” itu muncul demi menyampaikan elemen seram tersebut. Dan entiti itu kelihatan merentas realiti demi realiti dan memerangkap watak utama dalam sebuah mimpi nan panjang – suatu naratif yang tampaknya berusaha untuk menghadirkan elemen saspens tanpa dukungan penjelasan ke atas kebolehan merentasi realiti tersebut.
Dalam erti kata lain, pengarang tidak menggambarkan konteks esensi kewujudan lembaga hitam – baik secara harfiah mahupun secara perlambangan.
Melalui peletakan latar pensejarahan watak lembaga hitam itu, ia akan berhasil menghadirkan kesan mendalam pada pembaca bahkan watak itu akan jadi lebih meyakinkan.
Terdapat usaha penyimpangan naratif – suatu percubaan untuk melorongkan persepsi palsu bahawasanya watak utama sudah berhasil menangani masalah kelumpuhan tidur tersebut.
Pembaca disuguhkan dengan suatu solusi yang tiada keajaiban, saintifik dan logik, iaitu watak utama menjaga waktu tidurnya dan mendatangi guru kaunseling untuk beroleh nasihat.
Berikutan daripada selesainya masalah kelumpuhan tidur itu, dia berhasil pula menjaga kecemerlangan akademiknya lalu berjaya beroleh keputusan membanggakan ketika SPM.
Namun, pengarang cuba menghasilkan suatu pulasan plot setelah menyedarkan kembali watak utamanya bahawa dia masih lagi berada dalam rangkaian mimpi ngeri di mana lembaga hitam masih tetap mengganggunya.
Bahkan setiap realiti kecemerlangannya dalam pelajaran itu ditanggapi selaku imaginasi.
Pulasan plot itu diakhiri pula dengan pengakhiran yang tidak klise – watak utama berdamai dengan realitinya yang dihantui lembaga hitam tersebut.
Terlihat kreativiti pengarang apabila cuba menepis kebiasaan dalam cerpen-cerpen horror yang lazim dibaca.
Sebelum itu, wajarlah dibahaskan apakah hala tuju cerpen ini sebenarnya. Jika hendak ditanggapi selaku sebuah cerpen seram – ia kekontangan konteks kerana ketiadaan latar pensejarahan watak lembaga hitam tersebut.
Watak antagonis itu harus punya asbab atau sebab untuk menghantui protagonis semisalnya protagonis berbuat sesuatu yang salah atau perkara buruk hingga dirinya dibelenggu sedemikian rupa.
Jika ditelaah tona penceritaan pula, pembaca disuguhkan dengan pembukaan sebuah cerpen yang gelap, seram psikologikal yang menggugah jiwa dan penuh debaran.
Namun, tona gelap ini tidak diteruskan dan perlahan-lahan dilenturkan menjadi tona penceritaan kisah budak sekolah yang menjemukan.
“Ryan bertekad untuk mengubah gaya hidupnya. Dia ingin menjadi murid yang sangat berdedikasi seperti dirinya dahulu….
… Dia naik ke pentas bersama-sama ibu bapanya untuk mengambil keputusan SPM. Dia berjalan dengan yakin dan senyuman bangga terukir di bibirnya.”
Perenggan demi perenggan sebermula dari “Ryan bertekad untuk mengubah gaya hidupnya” sehinggalah “Dia naik ke pentas…” telah merudumkan tona penceritaan nan gelap dan berfokus menjadi naratif longgar kisah budak sekolah yang klise.
Dengan sela waktu yang kian panjang – watak figura hitam sudah dilenyapkan keutuhan seram yang mengujakan pada awalan penceritaan.
Makanya, saranan yang boleh dibuat pengarang adalah mengutamakan babak-babak penting yang lebih singkat sela waktunya.
Pengarang boleh berbuat seolah-olah lembaga hitam itu sendiri lenyap secara langsung melalui perbuatan seperti tidur dengan cukup itu.
Semisalnya, watak utama sudah tahu bila dan dalam keadaan apakah lazimnya lembaga hitam itu muncul, tetapi apabila watak utama menjaga waktu tidurnya, kelaziman itu terhapus sendiri.
Ataupun, boleh juga pengarang menyelitkan serba sedikit transisi watak lembaga hitam sepanjang pergerakan naratif dari detik Ryan bertekad untuk mengubah gaya hidupnya itu sehinggalah dia naik ke pentas.
Boleh sahaja watak lembaga hitam itu dimunculkan persis cameo – sekejap ada, sekejap tiada dan juga dalam bentuk berbeza serta tidak hilang sepenuhnya.
Cumanya, saranan sebegini barangkali akan menghilangkan elemen kejutan penceritaan jika tidak digarap dengan kemas dan teliti.
Di samping itu, watak-watak yang digambarkan agak kaku dan punya satu dimensi. Garapannya dangkal dan tidak menzahirkan kegalauan yang cuba diterapkan.
Watak Ryan misalnya, boleh diperhalusi kegalauannya dengan menggambarkan lebih rinci perubahan sikapnya dan fizikalnya.
Pengarang boleh menerapkan lebih lanjut bagaimana masalah kelumpuhan tidur membuatkan Ryan menjadi panas baran ataupun gelisah.
Dan semestinya garapan seumpama ini digambarkan dalam bentuk dialog ataupun pergerakan demi menambahkan lagi impak penceritaan.
Watak-watak seperti Cikgu Mimi dan Azril pula boleh sahaja diterapkan perkaitan simbolik – barangkali simbolisme jalan keluar yang Ryan impikan.
Simbolisme ini boleh dipertontonkan melalui perlakuan-perlakuan mikro – gaya, pemakaian, warna ataupun cara percakapan.
Namun, untuk penulis pemula, simbolisme melalui perwatakan ini masih menuntut kefahaman mendalam dan kedewasaan kepengarangan untuk digulati dengan mahir.
“Matanya terbuka luas, sebuah figura hitam masih memandang tepat ke arahnya. Dia tidak dapat menggerakkan tubuh badannya. Rupa-rupanya semua kisah tersebut hanyalah mimpi. Mimpi yang membawa dia kembali ke sini, terbaring di atas katil. Tetapi kali ini, dia lebih tenang, tidak lagi panik seperti sebelumnya. Menghadapi kelumpuhan tidur dengan ketenangan adalah kemenangan. Hidup adalah sebuah wayang dan manusialah pelakonnya.”
Sewajarnya pengarang mengelak daripada menamatkan cerita sedemikian rupa. Frasa “rupa-rupanya semua kisah tersebut hanyalah mimpi” mencerminkan kemalasan pengarang menyudahkan cerita dan menunjukkan suatu garapan yang tidak bersungguh dalam penghasilan karya kreatif.
Frasa tersebut juga bukanlah suatu dosa jika pengarang mahu mengolahnya secara kreatif.
Bahkan jika frasa tersebut dibuang, ia akan lebih berimpak kepada pembaca dengan elemen tergantungnya yang ngeri.
Sebagai contoh, jika dibuang dua ayat di dalam perenggan terakhir tersebut menjadi berikut:
“Matanya terbuka luas, sebuah figura hitam masih memandang tepat ke arahnya. Dia tidak dapat menggerakkan tubuh badannya. Tetapi kali ini, dia lebih tenang, tidak lagi panik seperti sebelumnya. Menghadapi kelumpuhan tidur dengan ketenangan adalah kemenangan. Hidup adalah sebuah wayang dan manusialah pelakonnya.”
Dengan alternatif ini, kejengkelan pembaca berjaya dihindarkan. Tetapi tetaplah ia terlihat pincang kerana sekali lagi pembaca tidak disuguhkan dengan suatu pemahaman mahupun konteks yang mendorong kepada ketenangan watak utama yang secara tiba-tiba muncul tersebut.
Tambahan pula, ia tidak menyelesaikan konflik utama (kelumpuhan tidur), watak utama hanya mengalami kitaran realiti yang berulangan.
Pengakhiran cerpen sebegini boleh diperbaiki dengan menambahkan ruang pentafsiran tersendiri – sebagai contoh, figura hitam tersebut bolehlah ditanggapi selaku suatu manifestasi ketakutan watak utama.
Manifestasi tersebut perlahan-lahan merudum darjah ketakutannya seiring dengan mendewasanya watak utama, yang memahami figura hitam itu bukanlah apa-apa ancaman.
Ataupun pengarang boleh meletakkan apa-apa sahaja definisi ataupun sifat “sebenar” figura hitam tersebut yang boleh difikirkan dan masih utuh logik fiksyennya.
Ruang pentafsiran itulah yang akan menjadi kerangka asas konteks ketenangan watak utama pada pengakhiran cerpen tersebut.
Selain daripada itu, pengarang boleh juga mengaplikasikan teknik pengakhiran terbuka.
Pengakhiran yang akan mendorong pembaca berteka-teki ataupun membuat tafsiran sendiri sama ada situasi akan jadi lebih baik atau buruk.
Berikut ialah contoh pengakhiran terbuka yang dimaksudkan:
“Di atas hamparan sejadah, Ryan baru usai menyudahkan bacaan al-Quran. Tetaplah lembaga hitam itu berdiri di depannya, bersebati dengan dinding. Namun, Ryan tidak lagi gerun. Bahkan ada sesuatu dalam renung mata Ryan yang menzahirkan kekuatan atau kegilaan. Tiba-tiba Ryan menyeringai lalu merapati figura hitam itu. Semakin rapat. Semakin dekat.”
Apa yang saya cuba olah di dalam penutup di atas ialah, saya cuba menyerahkan penamat cerita kepada pembaca untuk meneka sendiri pengakhiran yang bergulat dalam imaginasi masing-masing.
Berdasarkan penelitian ke atas ulasan-ulasan di atas, bolehlah saya simpulkan bahawa pengarang punya potensi dalam menggarap sebuah naratif yang mendebarkan dan punya bakat mengolah sebuah alur penceritaan yang konsisten dan tersusun.
Meski punya bakat, pengarang masih cenderung untuk hilang fokus dalam mengekalkan momentum penceritaan tersebut. Justeru, pemeraman karya itu penting.
Setelah siap draf pertama, ia harus disimpan seketika sebelum pengarang balik semula pada karya dan mencincang mana-mana babak yang tidak perlu dalam menyampaikan gagasan ideanya.
Yang mustahak ialah pengarang memperbanyak dimensi penceritaan melalui pembacaan karya-karya yang pelbagai demi beroleh persepsi-persepsi menyegarkan dalam fiksyen.
Di samping itu, pengarang juga boleh meneroka garapan filem-filem mutakhir ini, khususnya meneliti jalan penceritaan yang disuguhkan dalam filem-filem yang ditonton demi dimanfaatkan ke dalam kaedah penyampaian cerita yang digarap nanti.
Oleh Lokman Hakim