
KOTA SAMARAHAN: Datang dengan niat menimba ilmu, dua sahabat dari Semenanjung akhirnya jatuh cinta dengan keunikan dan ketenangan Bumi Kenyalang.
Bagi Najla Farhana Mad Asri, dari Kedah dan Nurin Afrina Aqilah Kamal, dari Johor, keputusan melanjutkan pengajian di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) empat tahun lalu sekadar langkah mengejar cita-cita dalam bidang pendidikan.
Namun, pengalaman di Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi (FPBK) mengubah persepsi mereka terhadap Sarawak.
Bagi Najla, pertama kali jejak kaki di Sarawak memang rasa janggal sebab jauh dari keluarga dan budaya berbeza.

“Tapi sekarang, saya rasa Sarawak ni rumah kedua. Saya jatuh cinta dengan suasana tenang di sini.
“Orangnya lembut, jalan pun tak sibuk sangat dan bila memandu, tak pernah dengar bunyi hon. Semuanya tenang.
“Hari ni saya bergraduasi, bawa family dari Kedah datang sekali. Kami datang di sini beberapa hari awal sebelum hari graduasi sebab saya nak tunjuk kat mereka macam mana suasana kat Sarawak,” kata Najla ketika ditemui Utusan Sarawak.
Nurin pula mengakui tanggapan pertamanya tentang Sarawak dulu hanyalah rasa asing dan kekok, tetapi kini bertukar menjadi rasa sayang yang mendalam.
“Yang saya paling suka, bila ada perayaan tak kira Gawai, Raya, atau Krismas semua orang sambut sama-sama. Rasa macam keluarga besar.
“Bila petang-petang drive, rasa damai sangat. Tak ada bunyi bising, tak ada orang marah. Itu yang buat kami sayang tempat ni.
“Saya datang untuk belajar, tapi akhirnya saya belajar untuk mencintai tempat ini.” luah Nurin.

Sepanjang berada di Sarawak, kedua-duanya turut terpesona dengan kepelbagaian budaya dan keharmonian masyarakat yang hidup dalam suasana saling menghormati.
Najla menyatakan bahawa tempoh empat tahun di Sarawak juga cukup untuk mereka fasih sedikit sebanyak dialek tempatan.
“Kalau orang tanya ‘nyaman sik?’, saya pun dah boleh balas ‘aok,nang nyaman.’,” katanya sambil ketawa.
Hujung minggu mereka pula diisi dengan aktiviti santai bersiar-siar di Tebingan Kuching, mencari laksa Sarawak di Satok atau sekadar memandu mengelilingi bandar menikmati ketenangan.
Kini setelah bergelar graduan, kedua-duanya sepakat bahawa Sarawak bukan sekadar tempat menimba ilmu tetapi tempat yang meninggalkan kenangan paling indah dalam hidup mereka.
Oleh Masrin Affirah