Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • RENCANA
  • Daging Dendeng Ibu Gayah sesuai dijadikan bekalan buat pengembara
  • RENCANA

Daging Dendeng Ibu Gayah sesuai dijadikan bekalan buat pengembara

Utusan Sarawak 15 hours ago
USAHAWAN muda, Mohamad Yusof Mohd Surid, 37, menimbang dan membungkus daging dendeng menggunakan resipi warisan berusia lebih 100 tahun bagi produk Daging Dendeng Ibu Gayah keluaran Angku Trading, yang semakin mendapat tempat di pasaran tempatan sejak dua tahun lalu. Resipi turun-temurun keluarga itu kini menjadi pilihan pendaki, pengembara serta jemaah haji dan umrah yang menggemari cita rasa tradisional. Foto BERNAMA

RESIPI daging dendeng berusia lebih 100 tahun yang diwarisi turun-temurun kini menjadi kebanggaan keluarga apabila jenama Daging Dendeng Ibu Gayah keluaran Angku Trading semakin kukuh menapak di pasaran tempatan sejak dua tahun lepas.

Usahawan muda, Mohamad Yusof Mohd Surid, 37, berkata dengan mengangkat semula resipi dendeng daripada zaman moyang yang kini diwarisi ibunya, menjadikan produk itu pilihan utama para pendaki, pengembara serta jemaah haji dan umrah yang inginkan cita rasa tradisi.

Mohamad Yusof berkata mengambil sempena nama ibunya, Rugayah Sidin, 73, produk berkenaan dihasilkan dalam bentuk mesra travel yang boleh dibawa ke mana-mana sahaja dengan menggunakan teknik retort sebagai inovasi bagi memastikan ketahanan lebih lama tanpa menjejaskan keaslian serta keenakan rasanya.

“Semasa awal perniagaan saya menjual dendeng di dalam botol, tetapi tidak boleh disimpan lama, hampir 10 tahun kami usahakan secara kecil-kecilan, namun pada masa sama saya dan isteri melakukan penyelidikan sendiri untuk mencari kaedah bagi mengekalkan rasa asli dendeng itu serta mampu bertahan lebih lama.

“Akhirnya, kami menghasilkan versi retort dan digabungkan dengan teknik masakan serta bahan premium bagi mengekalkan rasa asli. Inovasi ini memudahkan golongan yang gemar mengembara atau mendaki untuk menikmati hidangan seperti di rumah kerana produk ini tahan lama, tidak perlu disimpan di dalam peti sejuk dan mudah disediakan di mana-mana sahaja,” katanya kepada Bernama di sini.

Produk itu katanya, turut menjadi pilihan jemaah umrah dan haji kerana praktikal dan sesuai dibawa ke luar negara, malah makanan itu juga pernah dibawa oleh pelanggan ke Gunung Fuji, Jepun.

Mohamad Yusof berkata dengan modal permulaan sebanyak RM13,000 dia membangunkan produk sendiri melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D) selama enam bulan.

Selain itu, perniagaannya itu turut dibantu oleh Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) melalui peralatan sokongan bernilai RM10,000 dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia menerusi geran RM10,000 bagi pembangunan fasiliti, peralatan dan sijil halal.

Anak jati Seremban itu berkata dia menggunakan daging premium daripada bahagian batang pinang yang lembut, dan perbezaan kualitinya dapat dirasai berbanding produk seumpamanya di pasaran.

“Apabila mempunyai mesin dan peralatan canggih, alhamdullilah kini pengeluaran semakin meningkat, daripada memproses 30 kilogram (kg) daging seminggu kepada 100 kg daging (dua minggu sekali) bersamaan dengan lebih 600 pek retort,” katanya.

RESIPI daging dendeng berusia lebih 100 tahun yang diwarisi turun-temurun kini menjadi kebanggaan keluarga apabila jenama Daging Dendeng Ibu Gayah keluaran Angku Trading semakin kukuh menapak di pasaran tempatan sejak dua tahun lalu. Foto BERNAMA


Menurutnya, setiap pek Daging Dendeng Ibu Gayah seberat lebih 200 gram mengandungi dua hidangan, dijual pada harga RM21.90.

Dia berkata produk itu dijual di beberapa stesen minyak, selain secara dalam talian melalui Shopee dan TikTok serta berhasrat mahu mengembangkan perniagaannya dengan memiliki ejen di seluruh negara pada suatu hari nanti.

Selain memperkukuh jenama sendiri, Mohamad Yusof turut membantu komuniti dengan melibatkan ibu tunggal dan suri rumah dalam aktiviti penyediaaan bahan mentah bagi membantu menjana pendapatan kepada tujuh individu yang tinggal di sekitar kawasan rumahnya.

“Saya tiada pekerja, tetapi saya mengupah suri rumah atau ibu tunggal yang tiada kerja untuk membersihkan bawang, serai, lengkuas, yang kebanyakan semua dihantar lebih 30 kg, mereka hanya bersihkan dan saya bayar upah secara tunai,” katanya.

Dengan jualan mencecah lebih RM7,000 sebulan pada Oktober lepas, Mohamad Yusof berharap produk Dendeng Ibu Gayah ini diiktiraf sebagai antara produk makanan sedia dimakan halal terbaik buatan tempatan, setanding dengan jenama komersial sedia ada.

Sementara itu, pembeli Dendeng Ibu Gayah, Hairi Hassan, 42, berkata setiap bulan dia akan membeli dendeng untuk dihantar kepada anaknya di Perak yang tinggal di sekolah berasrama.

Masita Baba, 67, pula berkata tekstur daging dendeng jenama ini sangat lembut dan tidak mudah hancur, malah rasanya kekal enak dengan keaslian rempah-ratus tradisionalnya.- Bernama

Continue Reading

Previous: BK Square Burger: Cita rasa unik di Jalan Datuk Ajibah Abol

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.