Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • RENCANA
  • Nelayan Muslim Cham kekalkan warisan dan tradisi di sepanjang sungai Tonle Sap, Kemboja
  • RENCANA

Nelayan Muslim Cham kekalkan warisan dan tradisi di sepanjang sungai Tonle Sap, Kemboja

Utusan Sarawak 16 hours ago
NELAYAN tradisional memainkan peranan penting dalam sektor perikanan Kemboja.

PHNOM PENH: Di tengah-tengah ibu negara Kemboja, aliran tenang Sungai Tonle Sap menyimpan sejarah berzaman milik komuniti minoriti Muslim Cham yang telah mendiami kawasan itu sejak turun-temurun.

Tidak ramai mengetahui bahawa sebahagian daripada komuniti ini sekian lama menguasai perairan Sungai Tonle Sap — golongan nelayan Cham.

Meskipun hidup sederhana, nelayan tradisional ini memainkan peranan penting dalam sektor perikanan Kemboja, menjadi penyumbang utama kepada pengeluaran hasil perikanan di sepanjang Sungai Tonle Sap yang panjangnya kira-kira 120 kilometer dan kaya dengan sumber marin.

SEORANG nelayan Cham menunjuk tangkapannya yang berkurangan akibat ribut kencang dan bahang panas mengubah corak pembiakan dan tangkapan hariannya menurun dengan mendadak.

“Saya telah menjadi nelayan sepanjang hidup saya dan kami tinggal di tebing Sungai Tonle Sap. 

“Nelayan Cham telah berada di sini sejak beberapa generasi dan membekalkan ikan serta hasil laut lain ke pasaran utama di Phnom Penh dan kawasan sekitarnya,” kata Ketua Kampung Chonkah, Eii Yu kepada Bernama dari surau kayunya di tebing sungai itu.

Kampung yang terletak di daerah Chroy Changvar di Phnom Penh, dikelilingi oleh Sungai Mekong dan Sungai Tonle Sap serta menjadi penempatan kepada kira-kira 150 nelayan Cham.

Mereka hidup bersama keluarga masing-masing di atas bot kecil dan berulang-alik di sepanjang Sungai Tonle Sap yang mengalir dari Tasik Tonle Sap di barat laut Kemboja dan menghubungkan Sungai Mekong yang besar.

Menurut data kerajaan, pengeluaran tahunan sektor perikanan Kemboja dianggarkan sekitar 400,000 tan metrik, dan sekurang-kurangnya separuh daripadanya datang dari Sungai Tonle Sap.

Komuniti Cham mempunyai sejarah unik di Kemboja, setelah berhijrah berabad-abad dahulu dari Kerajaan Champa purba, kira-kira 500 tahun lalu, menurut catatan sejarah.

Selain mengekalkan budaya, tradisi dan agama mereka, sebahagian besar masyarakat ini turut mengekalkan kemahiran dalam bidang perikanan.

“Menangkap ikan telah menjadi antara pekerjaan utama mereka kerana mereka tinggal di kawasan pesisir. Di mana ada sungai dan air, di situ ada nelayan Cham. Sungai adalah sumber kehidupan mereka,” kata Timbalan Pengarah Pusat Dokumentasi Kemboja yang berpangkalan di Phnom Penh, Farina So kepada Bernama.

“Walaupun negara terus membangun, mereka masih mengekalkan strategi hidup tradisional mereka. Ramai juga wanita yang menjadi nelayan dan mereka sangat mahir,” katanya.

Meskipun serba kekurangan, nelayan Cham terus berdaya saing dan bertahan bersama nelayan Khmer serta Vietnam yang memiliki kemudahan lebih moden dan berskala komersial.

“Orang Cham mempunyai kemahiran tersendiri dan nelayan Muslim dari pelbagai wilayah turut datang ke Sungai Tonle Sap pada musim menangkap ikan.

“Tetapi hasil tangkapan kini semakin berkurangan, malah jumlah benih ikan juga semakin menurun akibat penangkapan berlebihan dan aktiviti perikanan haram.

“Setiap nelayan hanya memperoleh kira-kira 10 kilogram sehari, tidak seperti dahulu yang boleh mencecah tiga kali ganda,” keluh Eii Yu yang berusia 65 tahun.

PEMANDANGAN sebuah perkampungan nelayan terapung berhampiran Kampong Phluk di Tasik Tonle Sap, di Siem Reap, Kemboja.

Dianggarkan terdapat sekitar 800,000 umat Islam di Kemboja dan kebanyakannya keturunan Cham, yang turut menyumbang kepada pembangunan negara moden berpenduduk kira-kira 17 juta orang. 

Kini ramai dalam kalangan mereka memegang jawatan tinggi dalam kerajaan, menjadi usahawan, tokoh korporat serta ahli akademik.

Dari bot-bot mereka di tebing sungai, penduduk kampung Eii Yu menyaksikan kemajuan pesat Phnom Penh.

Namun apabila malam menjelang tiba, Sungai Tonle Sap kembali menyimpan kisah lama nelayan Cham — tentang perjuangan mereka berdepan hasil tangkapan yang semakin berkurangan, pendapatan rendah dan masa depan yang tidak menentu.- Bernama

Continue Reading

Previous: Keberadaan logam berat terkumpul dalam udang galah di sungai-sungai Sarawak
Next: BK Square Burger: Cita rasa unik di Jalan Datuk Ajibah Abol

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.