
KUCHING: Angin kencang petang tadi menyebabkan bumbung garaj kereta di kawasan Taman Reservoir roboh dan menghempap kenderaan yang diletakkan di situ.
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padungan menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada 2.47 petang.
“Seramai lapan anggota bersama satu jentera FRT dan satu unit EMRS telah digerakkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya pasukan di lokasi, didapati bumbung garaj kereta telah diterbangkan angin dan menghempap sebuah kenderaan yang sedang parkir.
“Kejadian tidak melibatkan sebarang mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, pasukan hanya menjalankan kerja-kerja mengalihkan runtuhan bumbung ke kawasan selamat bagi memastikan persekitaran tidak menimbulkan risiko kepada orang awam.
“Operasi ditamatkan selepas kawasan disahkan selamat dan pasukan berangkat pulang ke balai.
“Insiden tersebut bagaimanapun tidak menjejaskan struktur bangunan berdekatan dan tiada laporan kecederaan diterima,” ujarnya.