Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • PENDIDIKAN
  • Unimas raikan 4,100 graduan pada Konvokesyen ke-29
  • PENDIDIKAN

Unimas raikan 4,100 graduan pada Konvokesyen ke-29

Utusan Sarawak 1 day ago
SUASANA Majlis Konvokesyen ke-29 Unimas yang berlangsung di Dewan Tunku Abdul Rahman Putra (DeTAR Putra) Kota Samarahan, hari ini.

KOTA SAMARAHAN: Seramai 4,100 graduan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) diraikan pada Majlis Konvokesyen ke-29 yang berlangsung di Dewan Tunku Abdul Rahman Putra (DeTAR Putra) mulai hari ini hingga khamis ini.

Konvokesyen berprestij itu diisytiharkan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Canselor sempena Majlis Konvokesyen ke-29 Sidang Pertama Unimas.

Dalam ucapannya, Tun Wan Junaidi menzahirkan rasa bangga terhadap sumbangan Unimas dalam menyokong Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang menjadi tonggak kemajuan Sarawak.

TUN Wan Junaidi berucap pada Majlis Konvokesyen ke-29 Unimas yang berlangsung di Dewan Tunku Abdul Rahman Putra (DeTAR Putra), Kota Samarahan, hari ini.

“Unimas telah menyokong agenda ini melalui pelbagai inisiatif termasuk memperkasakan komuniti luar bandar menerusi pengetahuan dan inovasi, memajukan ekonomi digital masyarakat, mempertingkatkan kelestarian alam sekitar serta memelihara warisan budaya dan identiti Sarawak sebagai khazanah bagi generasi akan datang.

“Penubuhan Fakulti Undang-Undang  merupakan langkah besar dalam memenuhi keperluan negeri untuk melahirkan barisan profesional perundangan yang memahami nilai kemanusiaan dan keadilan sosial,” katanya.

TUN Wan Junaidi, Toh Puan Fauziah merakamkan gambar kenangan pada Majlis Konvokesyen ke-29 Unimas yang berlangsung di Dewan Tunku Abdul Rahman Putra (DeTAR Putra), Kota Samarahan, hari ini.

Selain itu, Tun Wan Junaidi menekankan bahawa pendidikan ialah perjalanan sepanjang hayat yang perlu disertai semangat ingin tahu dan sikap rendah hati.

“Tapi ingat, pembelajaran tidak berhenti di sini. Setiap graduan mesti terus menuntut ilmu dengan semangat ingin tahu dan sikap rendah hati. 

“Hanya dengan ilmu yang diamalkan dengan disiplin dan kasih, lahirlah insan yang berakhlak, berjiwa besar serta mampu menyumbang kepada kemajuan Sarawak dan negara,” ujarnya.

Sementara itu, Naib Canselor Unimas, Profesor Datuk Dr Mohamad Hata Rasit, berkata tahun 2025 menyaksikan Unimas terus melakar pencapaian cemerlang di peringkat antarabangsa.

“Dalam The Impact Rankings 2025, Unimas melonjak ke kelompok 101 hingga 200 universiti terbaik dunia, berbanding kedudukan 301 hingga 400 pada tahun sebelumnya.

“Pencapaian ini membuktikan bahawa universiti dari Borneo mampu berdiri sebaris dengan universiti ternama dunia, berpaksikan nilai kemanusiaan, inovasi dan kelestarian,” tambahnya.

NAIB Canselor Unimas, Profesor Datuk Dr Mohamad Hata Rasit, berucap pada Majlis Konvokesyen ke-29 Unimas yang berlangsung di Dewan Tunku Abdul Rahman Putra (DeTAR Putra), Kota Samarahan, hari ini.

Beliau turut menegaskan komitmen Unimas terhadap kelestarian dengan pelancaran Low Carbon Campus Roadmap 2030, menjadikan kampus berasaskan data dan berpaksikan masa depan hijau selaras dengan PCDS 2030.

Konvokesyen ke-29 Unimas itu berlangsung selama empat hari berturut-turut melibatkan lapan sidang dan menutup tirai pada Khamis ini.

Majlis yang diadakan selama empat hari itu melibatkan penganugerahan bagi peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD), Ijazah Sarjana, Ijazah Sarjana Muda, serta Diploma Pascasiswazah Pendidikan.

 SUASANA Majlis Konvokesyen ke-29 Unimas yang berlangsung di Dewan Tunku Abdul Rahman Putra (DeTAR Putra) Kota Samarahan, hari ini.

Sidang pertama pada pagi ini menyaksikan seramai 123 graduan PhD menerima ijazah masing-masing, manakala sidang kedua yang bakal berlangsung pada sebelah petang menyaksikan 502 graduan Sarjana dan 27 graduan Diploma Pascasiswazah menerima skrol.

Turut hadir Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, Pengerusi Lembaga Pengarah Unimas Tan Sri Datuk Seri Panglima Sulong Matjeraie serta barisan pengurusan tertinggi universiti.

Oleh Masrin Affirah

Tags: PENDIDIKAN

Continue Reading

Previous: Sarawak Skills diterima industri, bukti kekuatan TVET tempatan
Next: Muzik jambatan perpaduan, bina keharmonian komuniti

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.