
KUCHING: Keperibadian Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berjiwa rakyat terserlah sewaktu majlis perasmian Festival Gendang Sarawak 2025 (FGS 2025) malam ini apabila baginda berkenan meninjau keadaan seorang peserta pertandingan yang terjatuh ketika selesai membuat persembahan.
Insiden itu berlaku sewaktu pertandingan akhir Gendang Melayu Sarawak kategori bermukun berkumpulan sedang berlangsung di Tebingan Kuching, membabitkan dua pasukan Kumpulan Cenderawasih dari Miri dan Warisan Gemilang dari Mukah.
Seorang daripada penopeng (tukang tandak) daripada kumpulan Cenderawasih dilihat terjatuh sebaik selesai beraksi di pentas, menyebabkan majlis terhenti kira-kira dua minit bagi memberi ruang pasukan perubatan memberikan rawatan awal.
Sultan Pahang yang berangkat ke majlis itu kemudian meninjau sendiri keadaan peserta terbabit, sekali gus menzahirkan keprihatinan baginda terhadap keselamatan peserta dan kelancaran acara.
Selepas keadaan kembali terkawal, pertandingan diteruskan dengan persembahan kumpulan dari Mukah yang disambut tepukan gemuruh penonton.
Terdahulu, keberangkatan tiba baginda dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah kira-kira 8.00 malam diiringi Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan.
Edisi ke-12 festival berkenaan menjadi platform sinergi antara kerajaan Persekutuan dan negeri dalam menyemarakkan pelancongan berasaskan budaya agar terus dilestarikan serta dapat dinikmati semua lapisan masyarakat, selain menyokong pelaksanaan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
Festival anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama kerajaan Sarawak itu berlangsung dari 30 Oktober hingga esok bersempena Regata Sarawak 2025.

Bertemakan “Nilai Warisan Irama Tradisi”, FGS 2025 menampilkan kesenian tradisional Gendang Melayu Sarawak sebagai pengisian utama yang mencerminkan keunikan warisan tempatan serta peranan komuniti seni dalam melestarikan tradisi.
Ketua Pengarah JKKN Mohd Amran Mohd Haris dalam ucapannya berkata MOTAC melalui JKKN telah meluluskan pemberian dana di bawah Jawatankuasa Pemberian Bantuan Kerajaan (JPBK) 2025 kepada lapan persatuan seni budaya di Sarawak melibatkan jumlah peruntukan sebanyak RM1.2 juta.
Beliau berkata selain itu, MOTAC turut mengambil inisiatif di bawah Pelan Pemulihan Pelancongan MOTAC melalui pemberian Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK) 2025 kepada 15 persatuan di negeri ini dengan jumlah keseluruhan RM710,000.
“GSSK MOTAC merupakan geran sokongan yang disediakan untuk membantu menampung sebahagian kos penganjuran program dan aktiviti berkaitan seni, budaya dan warisan.
“Untuk tahun ini, MOTAC memperuntukkan sebanyak RM50 juta bagi GSSK berbanding RM30 juta tahun lepas, selaras dengan inisiatif kerajaan di bawah Belanjawan 2025 untuk menyemarakkan aktiviti seni dan budaya ke arah menyokong Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.
Antara pengisian utama FGS 2025 ialah Seminar Kearifan Tempatan ‘Survival Gendang Melayu Sarawak’, Pertandingan Gendang Melayu Sarawak, Pertandingan Bakat Kenyalang FGS 2025 serta Majlis Perasmian FGS 2025.
-Bernama