
PETRA JAYA: Kerajaan sedang meneliti garis panduan baharu berhubung penggunaan telefon pintar dalam kalangan kanak-kanak dan remaja, termasuk kemungkinan menetapkan had umur minimum seperti yang dicadangkan di Australia baru-baru ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Nancy Shukri, berkata perbincangan mengenainya kini sedang dijalankan di peringkat kementerian serta menunggu penelitian lanjut di peringkat Kabinet Persekutuan.
“Isu ini memang dibincangkan secara serius. Walaupun bukan di bawah kementerian saya secara langsung, tetapi kami berbincang mengenai garis panduan seperti had umur penggunaan telefon pintar dan jenis aplikasi atau permainan yang sesuai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas soalan media berhubung kes tular pengaruh permainan video seperti Roblox dan aplikasi ‘OMI’ yang dikaitkan dengan tingkah laku tidak sihat dalam kalangan pelajar.
Menurut Dato’ Sri Nancy, antara cadangan yang sedang diteliti ialah mengehadkan penggunaan telefon pintar kepada kanak-kanak bawah 16 tahun, seperti yang bakal dilaksanakan Australia pada Disember ini.
“Kita nak lihat dulu bagaimana pelaksanaan di Australia. Negara berbeza, budaya pun lain. Jadi kita kena pastikan dasar yang dibuat sesuai dengan konteks Malaysia,” jelasnya.
Beliau menambah, kerajaan tidak bercadang menyekat sepenuhnya penggunaan telefon mudah alih, sebaliknya mahu mengawal pendedahan terhadap telefon pintar dan permainan dalam talian yang boleh memberi kesan negatif kepada perkembangan mental dan sosial kanak-kanak.
“Kalau sekadar guna telefon untuk berhubung dengan ibu bapa atau hal keselamatan, itu dibenarkan. Tetapi kita mahu kawal akses kepada aplikasi atau permainan tertentu yang boleh mempengaruhi tingkah laku,” katanya.
Oleh Shikin Mahmud