
KOTA SAMARAHAN: Sarawak terus memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju kesihatan digital negara menerusi pelancaran dua inisiatif baharu, MediRover dan MediDoc, yang disifatkan sebagai pelaksanaan sebenar dan bukan sekadar projek perintis.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof, berkata kedua-dua inisiatif itu membuktikan komitmen Sarawak dalam memanfaatkan rangkaian 5G, Kecerdasan Buatan (AI) dan Internet Pelbagai Benda (IoT) bagi memperkukuh akses kesihatan untuk rakyat luar bandar.
“Sebagai anak Sarawak, saya memahami cabaran yang dihadapi apabila kemudahan kesihatan jauh dari capaian. Pelancaran MediRover dan MediDoc amat bermakna kerana ia membawa khidmat kesihatan terus kepada rakyat, bukan menunggu rakyat datang mencarinya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Pelancaran Inisiatif Telekesihatan: Mengubah Perkhidmatan Kesihatan untuk Komuniti Terpinggir di Hospital Pengajar Universiti Malaysia Sarawak (HPUNIMAS), di sini, hari ini.
Menurut Fadillah, pelaksanaan inisiatif berasaskan teknologi itu kini dijalankan di 30 lokasi di Sarawak, melibatkan lebih 8,000 pengguna aktif dengan liputan 4G dan 5G CelcomDigi yang mencapai 94 peratus di seluruh negeri.
Bagi kawasan yang masih tiada sambungan gentian optik atau liputan mudah alih, teknologi satelit akan digunakan bagi memastikan komunikasi dan rawatan kekal berterusan.
Beliau menjelaskan, pelaksanaan ini bukan sahaja melibatkan hospital kerajaan, tetapi turut diperluaskan kepada sektor swasta serta kawasan pedalaman di Semenanjung Malaysia, termasuk penempatan masyarakat Orang Asli.

“Tujuan utama inisiatif ini ialah memperluaskan akses kesihatan ke seluruh negara. Kita mahu pastikan ia bukan percubaan, tetapi model nasional yang boleh diperluaskan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran berkenaan.
Tambahnya, kejayaan pelaksanaan MediRover dan MediDoc bergantung kepada penyelarasan rentas kementerian dan agensi, termasuk Kementerian Digital, Kementerian Komunikasi, Kementerian Pengajian Tinggi serta institusi pendidikan seperti Unimas dan Universiti Malaya.
“Kita perlu mengelak pertindihan. Apa yang penting ialah menilai sistem sedia ada dan memperkukuh kelemahan dengan teknologi terkini,” jelasnya.
Fadillah berkata, universiti memainkan peranan penting dalam menyediakan kepakaran dan hasil penyelidikan yang boleh diterjemahkan kepada aplikasi sebenar untuk manfaat rakyat dan negara.
“Kita mempunyai banyak hasil penyelidikan di universiti yang boleh diaplikasikan secara langsung di lapangan,” katanya.
Beliau menambah bahawa pelaksanaan MediRover dan MediDoc seiring dengan agenda nasional di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) dan Kertas Putih Kesihatan, yang menekankan akses saksama kepada rawatan berkualiti serta mampu milik.
“Pembangunan sebenar bukan diukur melalui pencakar langit atau lebuh raya, tetapi apabila seorang ibu boleh mendapatkan rawatan tanpa perlu menempuh perjalanan jauh, dan warga emas dapat berhubung dengan doktor dari rumah,” katanya.
Fadillah turut mengucapkan tahniah kepada Unimas dan CelcomDigi atas kejayaan memperkenalkan inovasi berjiwa rakyat itu, yang disifatkannya sebagai bukti kepimpinan Sarawak dalam transformasi kesihatan digital negara.
Oleh Adele Rissa & Norman B.