
KUCHING: Bekas pengendali Sarawak Alan Vest, yang pernah membawa pasukan negeri itu menjulang beberapa kejayaan pada era 1990-an meninggal dunia semalam pada usia 86 tahun.
Khabar duka itu diumumkan menerusi laman web rasmi Perth Glory Football Club, iaitu kelab di mana Vest pernah berkhidmat sebagai penolong dan pengurus sementara, sambil menyatakan kesedihan atas kehilangan figura yang mesra disapa Vestie.
“Perth Glory berdukacita atas pemergian bekas Penolong dan Pengurus Sementara Kelab, Alan Vest. Vestie telah berkhidmat dengan cemerlang antara 2001 hingga 2006. Salam takziah dari kami buat keluarga dan rakan-rakannya,” menurut kelab itu.
Berasal dari Barnsley, United Kingdom, Vest mula menonjol sebagai pemain di peringkat liga bukan profesional Inggeris sebelum berhijrah ke New Zealand dan seterusnya ke Australia pada awal 1970-an.
Sebagai penyerang, beliau meraih 17 penampilan bersama skuad New Zealand, menjaringkan enam gol termasuk satu pada penampilan sulung menentang New Caledonia pada 1972.
Vest beralih kepada bidang kejurulatihan dan mencapai status legenda di Malaysia apabila beliau membawa Sarawak menjuarai Piala FA 1992, juara Liga Premier 1997 dan Piala Sumbangsih 1998, sekali gus mengukuhkan legasinya sebagai seorang daripada jurulatih asing paling berjaya dalam sejarah bola sepak Malaysia.
Semasa bersama Sarawak, Vest mengubah pasukan itu daripada sebuah pasukan sederhana menjadi kuasa besar dalam bola sepak Malaysia, dengan tempoh khidmat beliau dari 1992 hingga 1998 digelar oleh peminat sebagai era “Bujang Senang”.
Setelah menamatkan khidmatnya di Malaysia, beliau menyertai Perth Glory pada 2001 sebagai penolong kepada Mich dÁvray, membantu kelab itu memenangi dua Kejuaraan Liga Bola Sepak Nasional (NSL) dan dua gelaran Kejuaraan Liga dalam tempoh tiga tahun.
Vest terkenal dengan individu yang menekankan disiplin, taktikal organisasi dan kerjasama berpasukan, sekali gus menanam tahap profesionalisme baharu dalam skuad negeri yang memberi inspirasi dan keyakinan kepada pemain serta penyokong.
Beliau juga dihargai kerana berjaya menggilap bakat tempatan seperti Pengiran Bala, Abdul Jalil Ramli, Abu Bakar Amran, Affendi Julaihi dan Abdul razak Ismail, yang kemudiannya terkenal di Sarawak.
Menggabungkan pemain tempatan bersama pemain import seperti John Hunter, David Evans dan Jeff Curran, Vest berjaya membina pasukan yang padu dan seimbang, mampu bersaing dengan kelab-kelab terbaik negara.
-Bernama