
KUCHING: Malaysia perlu mengambil tindakan segera bagi melindungi golongan belia daripada bahaya permainan dalam talian yang tidak terkawal, kata Ahli Parlimen Bandar Kuching dan Setiausaha Politik kepada Menteri Sumber Manusia, Dr Kelvin Yii Lee Wuen.
Beliau berkata, tragedi terkini di Batu Pahat, Johor, yang dikaitkan dengan permainan dalam talian, seharusnya menjadi amaran untuk memperkukuh perlindungan terhadap kanak-kanak dan remaja.
“Apa yang dahulunya sekadar hiburan kini telah berkembang menjadi satu sistem yang membentuk tingkah laku, emosi, dan nilai. Kita mesti memastikan dunia maya ini tidak membahayakan dunia sebenar tempat anak-anak kita hidup,” katanya.
Dr Yii mencadangkan beberapa langkah, termasuk penggubalan Akta baharu untuk mengawal selia platform permainan seperti Roblox dan Discord, bukan sekadar media sosial, bagi menangani kandungan berbahaya, perjudian, dan aktiviti grooming.
Beliau juga mencadangkan penggunaan MyDigital ID untuk pengesahan pengguna kanak-kanak, larangan permainan ganas atau seakan perjudian untuk mereka yang berumur bawah 18 tahun, serta pengenalan waktu tutup permainan serupa dengan ‘Shutdown Law’ di Korea Selatan bagi mengurangkan ketagihan.
Dr Yii seterusnya menggesa laporan ketelusan daripada syarikat permainan mengenai cara mereka mengendalikan data kanak-kanak dan kawalan lebih ketat terhadap pengiklanan dan pembelian dalam permainan bagi mengelakkan penipuan dan eksploitasi.
Beliau menekankan bahawa ibu bapa mesti memainkan peranan aktif melalui kesedaran dan penglibatan.
“Tiada undang-undang yang dapat menggantikan penglibatan ibu bapa. Keluarga, sekolah, dan kerajaan mesti bekerjasama membina persekitaran digital yang selamat,” katanya.
Dr Yii berkata, melindungi kanak-kanak dalam talian mesti dianggap sebagai keutamaan nasional untuk memastikan Malaysia yang lebih selamat dan celik digital.