BINTULU: Dalam usaha membudayakan integriti, meningkatkan tabir urus baik dan menangani gejala rasuah seharusnya kembali kepada ajaran agama.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, ini kerana kepercayaan dapat memperkukuh nilai-nilai moral dan etika.
“Integriti dikehendaki oleh semua agama dan masyarakat. Ketelusan dan Integriti adalah ciri-ciri yang harus ada dalam masyarakat Islam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutupan Seminar Integriti Kepimpinan Masjid Peringkat Negeri Sarawak (Zon Utara) bertempat di Dewan Suarah Bintulu.
Menurutnya, Islam adalah agama yang sangat mengutamakan perkara-perkara amanah.
“Perlu amanah kepada tugas yang telah diberikan kepada kita kerana musuh dalam kita adalah nafsu,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa pengurusan dan pentadbiran masjid juga harus berpandukan konsep kepimpinan dengan penuh amanah.
“Pada era ini peranan masjid dan surau perlu diperkasa lagi dalam membagun masyarakat setempat khususnya mengenai keilmuan yang didasari prinsip aqidah dan kefahaman agama,” katanya
Tambahnya, Kerajaan cuba secara beransur-ansur untuk memenuhi keperluan masyarakat.
“Ilmu dan integriti penting kerana supaya dapat menyumbang kepada masyarakat,” ujarnya.
Dalam pada itu beliau juga memaklumkan bahawa Kerajaan akan membangunkan Bintulu dengan seadil-adilnya.
Turut hadir Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom, Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Talip Zulpilip, Menteri Muda Hal Ehwal Agama dan DBKU dan Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air), Datuk Abdul Rahman Junaidi dan ADUN Samalaju, Majang Renggi.
Oleh Ellie Edward