
KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman berjaya menumpaskan ribuan akaun keldai yang disalah guna bagi kegiatan penipuan dalam talian menerusi dua operasi besar-besaran di seluruh negara yang membawa kepada lebih 2,000 tangkapan.
Pengarah JSJK Bukit Aman Datuk Rusdi Mohd Isa berkata Operasi Mule NSRC yang dijalankan dari 22 hingga 28 September lepas berjaya menahan 1,303 individu yang disyaki terlibat dalam kegiatan akaun keldai, membabitkan 778 kertas siasatan.
“Daripada jumlah itu, 270 kertas siasatan (35 peratus) telah dituduh di mahkamah di bawah pelbagai seksyen Kanun Keseksaan termasuk Seksyen 420 dan 424,” katanya pada sidang media khas di sini hari ini.
Beliau berkata operasi berkenaan, yang dilaksanakan bersama Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC), bertujuan membanteras jenayah komersial yang menggunakan akaun keldai untuk menerima wang hasil penipuan dalam talian. Tangkapan tertinggi direkodkan di Sarawak iaitu 272 orang, diikuti Sabah (200), Kuala Lumpur (137) dan Selangor (115).
Sementara itu, Operasi Merpati yang dijalankan dari 2 hingga 12 September turut mencatat kejayaan besar apabila 790 individu ditahan kerana memiliki akaun bank yang digunakan untuk penipuan e-dagang, manakala 30 lagi diberkas kerana mengendalikan pusat panggilan aktiviti penipuan di seluruh negara.
“Jumlah tangkapan itu terdiri daripada 475 lelaki, dan 315 wanita serta empat warga asing melibatkan warga Indonesia dan Bangladesh,” katanya sambil menambah penipuan e-dagang bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini menyebabkan kerugian lebih RM54 juta.
Bagi Operasi Merpati, Rusdi berkata sebanyak 660 kertas siasatan dibuka di seluruh negara melibatkan kerugian lebih RM11 juta dengan 41.7 peratus daripadanya telah dituduh di mahkamah dan selebihnya masih dalam siasatan.
“Kedua-dua operasi itu menunjukkan komitmen berterusan JSJK dalam membanteras sindiket penipuan dalam talian yang semakin licik dan merentas sempadan negeri,” katanya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak meminjamkan atau menjual akaun bank dan kad ATM kepada pihak lain kerana perbuatan itu adalah kesalahan yang boleh disalah guna untuk aktiviti jenayah dan penggubahan wang haram.- Bernama