
KUCHING: Kebakaran longgokan tayar yang berlaku di Batu 9.00 malam tadi, merebak dan memusnahkan dua kilang berhampiran iaitu sebuah kilang tayar terpakai dan sebuah lagi kilang kitar semula plastik.
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 11.10 malam, sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan bersama bantuan daripada BBP Kota Sentosa, BBP Siburan dan BBP Tabuan Jaya digerakkan ke lokasi.

“Setibanya pasukan di tempat kejadian, kebakaran pada awalnya hanya melibatkan longgokan tayar seluas 60×60 kaki persegi yang terbakar sepenuhnya di luar bangunan. Namun, api kemudiannya merebak ke dua kilang berhampiran,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Satu daripada kilang tersebut, iaitu kilang tayar terpakai, musnah 100 peratus, manakala kilang kitar semula plastik berhampiran terbakar kira-kira 60 peratus.
Keluasan setiap kilang dianggarkan 100×80 kaki persegi. Kebakaran berjaya dikawal daripada terus merebak ke kawasan lain sekitar 5.15 pagi, dan tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam insiden itu.
Operasi pemadaman diketuai Christian Olas, Ketua Balai BBP Kota Samarahan, dengan kehadiran beberapa pegawai kanan JBPM Sarawak termasuk Yahya Hassan, Nik Muhd Afiq Nik Roslan, serta pegawai dari Zon Samarahan, Zon Kuching, dan Ibu Pejabat Negeri.


PANDANGAN dari jauh menunjukkan kepulan asap besar di lokasi kejadian.
Pasukan pemadaman menggunakan beberapa aliran hos daripada jentera pelbagai balai dan sumber air daripada dua pili bomba berhampiran, selain bantuan tangki air.
Sehingga pagi tadi, operasi pemadaman dan kerja-kerja penyelenggaraan menyeluruh masih diteruskan.
JBPM turut memohon bantuan jengkaut daripada Majlis Daerah Padawan bagi kerja penggalian untuk pemadaman menyeluruh, namun bantuan tidak dapat disalurkan akibat ketiadaan pemandu.
Setakat 10.50 pagi, tindakan pemadaman menyerang api secara langsung, garis pemisah api dan penyejukan masih dijalankan dengan kebakaran dilaporkan 40 peratus berjaya dipadam.
Oleh Amanda L