Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Sarawak, Catalonia teroka kerjasama pelancongan, warisan budaya dan industri kreatif
  • SEMASA

Sarawak, Catalonia teroka kerjasama pelancongan, warisan budaya dan industri kreatif

Utusan Sarawak 2 days ago
KUNJUNGAN HORMAT… Menteri Ekonomi dan Kewangan Kerajaan Catalonia, Alicia Romero, ketika menerima kunjungan hormat delegasi Sarawak di Barcelona.

BARCELONA, Sepanyol: Sarawak berhasrat memperkukuh hubungan dua hala dengan kerajaan Catalonia, Sepanyol dalam bidang pelancongan, warisan budaya dan industri kreatif susulan beberapa siri pertemuan peringkat tinggi yang diadakan di sini minggu ini.

Delegasi Sarawak diketuai oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, turut disertai oleh Timbalan Menteri, Datuk Snowdan Lawan dan Datuk Dr. Ripin Lamat, bersama Setiausaha Tetap MTCP, Datu Sherrina Hussaini, Datu Rashidah Bolhassan, Setiausaha Tetap, Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Morshidi Fredrick, serta pegawai kanan kementerian.

KUNJUNGAN HORMAT… Menteri Ekonomi dan Kewangan Kerajaan Catalonia, Alicia Romero, ketika menerima kunjungan hormat delegasi Sarawak di Barcelona.

Dalam siri lawatan tersebut, Dato Sri Abdul Karim telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Ekonomi dan Kewangan Kerajaan Catalonia, Alícia Romero Llano, bagi membincangkan potensi kerjasama dalam pertumbuhan mapan yang dipacu oleh budaya, pelancongan dan pembangunan industri kreatif.

Kedua-dua pihak sependapat bahawa kreativiti dan warisan mampu menjadi pemangkin ekonomi yang kukuh apabila disokong oleh penglibatan komuniti serta jati diri budaya yang kuat.

Menurut Dato Sri Abdul Karim, Sarawak dan Catalonia mempunyai banyak persamaan, termasuk status autonomi wilayah dalam negara masing-masing.

Kedua-dua kerajaan, katanya, mengutamakan pembangunan inklusif berteraskan kepelbagaian budaya, kreativiti dan kesejahteraan masyarakat yang menjadi asas kukuh untuk kerjasama jangka panjang dalam pertumbuhan mapan berasaskan budaya.

PERTEMUAN… Pengarah Jeneral Warisan Budaya, Jabatan Kebudayaan, Joaquim Borràs Gómez.

Dato Sri Abdul Karim turut mengadakan pertemuan dengan Pengarah Jeneral Warisan Budaya di Jabatan Kebudayaan Catalonia, Joaquim Borràs Gómez, bagi membincangkan pengurusan dan pemuliharaan warisan serta penyertaan masyarakat dalam melindungi aset budaya.

Kedua-dua pihak menyatakan minat untuk mengadakan pertukaran profesional antara muzium serta penggiat kreatif, selain menjalin usaha bersama bagi mendokumentasi dan mempromosikan nilai budaya yang dikongsi bersama.

PERTEMUAN… Pengarah Agensi Pelancongan Catalonia, Arantxa Calvera ketika mengadakan pertemuan bersama delegasi Sarawak di Barcelona.

Dalam pertemuan berasingan bersama Pengarah Agensi Pelancongan Catalonia, Arantxa Calvera, delegasi Sarawak diperkenalkan dengan Strategi Pemasaran Pelancongan Catalonia 2024–2028 bertemakan ‘Daripada Kuantiti kepada Kualiti’ yang menumpukan kepada pelancongan mampan dan bernilai tinggi.

Berpandukan prinsip bahawa ‘tiada destinasi berjaya jika penduduknya tidak bahagia,’ pendekatan Catalonia menggabungkan matlamat alam sekitar, sosio-budaya dan ekonomi bagi memastikan manfaat pelancongan dapat dinikmati oleh pelawat serta penduduk tempatan.


Wilayah tersebut menerima 19.9 juta pelancong antarabangsa pada 2024, peningkatan sebanyak 9.7 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Dato Sri Abdul Karim berkata, Sarawak turut berkongsi visi pelancongan mampan yang berpusat kepada rakyat.

“Pendekatan kami di Sarawak ialah membangunkan pelancongan yang memperkasakan komuniti, memelihara warisan dan menyemarakkan kreativiti. Model Catalonia membuktikan bahawa budaya, kelestarian dan inovasi boleh bergerak seiring. Banyak perkara yang boleh kami pelajari antara satu sama lain,” katanya.

Beliau turut menekankan hubungan antara Kuching dan Barcelona melalui Rangkaian Bandar Kreatif UNESCO (UCCN), di mana Kuching diiktiraf sebagai Bandar Gastronomi manakala Barcelona sebagai Bandar Sastera. 

Platform bersama itu, jelasnya, membuka peluang kolaborasi dalam pertukaran kulinari dan sastera, residensi kreatif serta penganjuran festival yang meraikan inovasi, budaya dan kelestarian.

Kedua-dua pihak bersetuju untuk meneruskan penerokaan kerjasama dalam bidang pertukaran ilmu, diplomasi budaya, keusahawanan kreatif dan pembangunan berasaskan warisan khususnya di bandar kecil serta kawasan luar bandar.

Lawatan itu berakhir dengan persefahaman bahawa hubungan erat antara Sarawak dan Catalonia mampu memberi manfaat bersama melalui kreativiti, budaya dan pelancongan seterusnya menyumbang ke arah masa depan yang lebih inklusif dan mampan bagi kedua-dua wilayah.

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: MPS dinobat Perintis Bandar Pintar, perkukuh kelestarian di Sibu
Next: SARORSO teruskan legasi pemuliharaan orkid Sarawak di bawah patron baharu

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.