
PETRAJAYA: Program Taklimat Inisiatif Pendidikan Premier Sarawak yang berlangsung di Dewan Sri Bunga, Politeknik Kuching, hari ini menjadi platform penting untuk menjelaskan pelbagai bantuan dan peluang pendidikan yang disediakan oleh kerajaan Sarawak kepada para pelajar institusi pengajian tinggi.
Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Dato Fazzrudin Abdul Rahman dalam ucapannya menegaskan bahawa komitmen kerajaan negeri dalam memperkukuh pembangunan modal insan terbukti melalui pelbagai inisiatif pendidikan yang dilaksanakan di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurut beliau, antara inisiatif utama yang dilaksanakan termasuk Skim Bantuan Sewa Kediaman Pelajar (SRAS), Bantuan Khas Kerajaan (BKK), Baucar Buku, Program Laptop Percuma, serta Skim Pendidikan Percuma bagi pelajar di institusi milik kerajaan negeri seperti Swinburne University of Technology Sarawak, Curtin University Malaysia, University of Technology Sarawak (UTS), ICATS University College dan CENTEXS.

“Kerajaan Sarawak sentiasa prihatin terhadap keperluan pelajar. Pelbagai bantuan disalurkan bagi meringankan beban kewangan mereka agar tidak ada anak Sarawak yang tercicir daripada melanjutkan pelajaran hanya kerana kekangan kewangan,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa kerajaan negeri telah memperuntukkan RM60 juta di bawah Bantuan Khas Kerajaan (BKK) yang telah memberi manfaat kepada lebih 40,000 pelajar, selain bantuan daripada Yayasan Sarawak berjumlah RM100 juta bagi pinjaman dan biasiswa pendidikan.
Selain itu, lebih 3,000 pelajar telah menerima komputer riba percuma dengan perbelanjaan keseluruhan RM9.42 juta, manakala hampir 2,000 pelajar telah menikmati manfaat Baucar Buku bernilai lebih RM2.4 juta.
Dato Fazzrudin turut menggesa para pelajar agar menjadi ejen perubahan dalam menyebarkan maklumat tentang inisiatif pendidikan negeri kepada rakan-rakan serta masyarakat di kampung halaman masing-masing.
“Kita tidak mahu lagi mendengar ada anak Sarawak yang berhenti belajar kerana tidak mampu. Tanggungjawab kita ialah memastikan setiap anak muda mengetahui peluang yang ada untuk mereka,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa usaha kerajaan negeri ini seumpama peranan ibu bapa yang bekerja keras demi memastikan anak-anak mendapat pendidikan dan masa depan yang lebih baik.
“Sama seperti ibu bapa yang mencari pendapatan untuk menyara keluarga, kerajaan negeri juga berusaha memastikan hasil negeri dapat disalurkan kembali kepada rakyat, termasuk dalam bentuk bantuan pendidikan,” katanya.
Program tersebut turut dihadiri oleh Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Afiq Fikri Rahim, selaku pengarah program, serta pegawai-pegawai daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan.
Pelbagai agensi turut membuka reruai pameran di luar dewan bagi memberikan penerangan lanjut mengenai skim bantuan dan biasiswa yang ditawarkan kepada pelajar Politeknik Kuching.
Oleh Shikin Mahmud