
KUCHING: Kerajaan Sarawak bersedia menubuhkan sebuah kampus penyelidikan baharu Swinburne University of Technology Sarawak yang akan memfokuskan kepada bidang sains bahan dan teknologi masa depan.
Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, perkara tersebut merupakan sebahagian daripada usaha negeri melahirkan tenaga pakar berkemahiran tinggi untuk menyokong pembangunan ekonomi berasaskan pengetahuan.

“Kampus penyelidikan itu merupakan komitmen kerajaan negeri dalam memperkukuh ekosistem penyelidikan dan inovasi, seiring dengan aspirasi menjadikan Sarawak sebagai negeri maju menjelang 2030.
“Kerajaan negeri telah mengenal pasti kawasan seluas 10 ekar bagi pembinaan pusat penyelidikan tersebut, namun sekiranya ruang tidak mencukupi, kita bersedia memperluaskannya hingga 15 ekar,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan ulang tahun ke-25 Swinburne University of Technology Sarawak, malam ini.
Beliau mengulas lanjut, pusat penyelidikan berkenaan akan dilengkapi kemudahan moden dan peralatan terkini untuk membolehkan penyelidik tempatan menganalisis serta menukar sumber semula jadi Sarawak kepada produk bernilai tinggi menggunakan teknologi terkini.
“Penubuhan Swinburne Sarawak 25 tahun lalu merupakan keputusan strategik bersama antara kerajaan negeri dan Swinburne Australia, yang telah berjaya melahirkan graduan berkualiti serta menyumbang kepada pembangunan sumber manusia di negeri ini.
“Kini tiba masanya Swinburne memainkan peranan lebih besar dalam fasa baharu pembangunan Sarawak yang bukan sekadar pengajaran, tetapi juga penyelidikan berimpak tinggi,” tegasnya.

Beliau turut menegaskan bahawa keperluan terhadap modal insan dalam bidang tenaga hijau, semikonduktor, petrokimia dan sains bahan semakin mendesak, sejajar dengan transformasi industri global ke arah ekonomi hijau dan digital.
“Pembangunan kampus penyelidikan Swinburne akan menjadi pemangkin kepada penghasilan lebih ramai pakar dalam bidang tersebut.
“Ini sekali gus memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai hab pendidikan dan teknologi di rantau ini,” ujarnya.
Swinburne Sarawak kini mempunyai pelajar dari lebih 50 negara, dan universiti itu menjangkakan pertumbuhan berterusan dalam jumlah pelajar, khususnya selepas pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Kerajaan Sarawak yang menjadikan pendidikan tinggi lebih mudah diakses oleh semua rakyat negeri ini.
Swinburne Sarawak turut menyifatkan keputusan berwawasan dan strategik kerajaan negeri di bawah pimpinan Premier Sarawak sebagai langkah penting dalam memastikan lebih ramai anak muda Sarawak berpeluang menimba ilmu dan menjadi peneraju masa depan negeri ini.
Oleh Masrin Affirah