
SARATOK: Persiapan bagi Festival Cabaran Alam Semula Jadi Krian (KFNC) 2025 berjalan lancar dengan pelbagai aktiviti menarik menanti pengunjung pada 15 dan 16 November ini.
Mesyuarat Jawatankuasa Induk Penganjuran KFNC 2025 yang diadakan di Pejabat Daerah Saratok hari ini dipengerusikan oleh Pegawai Tadbir Menguasa Pejabat Daerah Kecil Nanga Budu, Hatta Adenan, bagi mendapatkan laporan terkini serta memperhalusi segala persediaan menjelang penganjuran festival berkenaan.
Festival tahunan yang bakal berlangsung di Dewan Komuniti Masyarakat Kaki Wong itu akan menampilkan tiga acara utama, iaitu Larian Alam Semula Jadi (15 November), River Rafting (16 November) dan Jambori Basikal Gunung XCO (16 November).
Selain itu, pengunjung turut disajikan dengan pelbagai acara sampingan seperti Malam Kebudayaan dan Hiburan (15 November malam) serta Sukan Tradisional Menyumpit dan Tarik Tali (16 November).
Menariknya, penganjuran tahun ini dijangka lebih meriah dengan penyertaan peserta antarabangsa bagi acara Jambori Basikal Gunung XCO, termasuk dari negara jiran iaitu Kalimantan dan Brunei Darussalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik, berkata festival tersebut bukan sahaja menjadi platform memperkenalkan keindahan alam semula jadi di Daerah Saratok, malah berpotensi besar merancakkan sektor pelancongan luar bandar serta menjana ekonomi masyarakat setempat.
“KFNC 2025 adalah medan terbaik untuk mempromosikan keunikan kawasan Krian yang kaya dengan keindahan alam dan budaya masyarakatnya.
“Saya menggesa orang ramai untuk hadir beramai-ramai memeriahkan festival ini,” katanya.
Friday menjelaskan, Festival Cabaran Alam Semula Jadi Krian kini menggabungkan elemen sukan, rekreasi, dan kebudayaan dalam satu platform komuniti yang menggalakkan gaya hidup sihat serta perpaduan masyarakat.
Beliau menambah, dengan pelbagai acara menarik menanti, KFNC 2025 dijangka menjadi antara festival komuniti luar bandar paling meriah di kawasan Betong dan Saratok tahun ini.
Oleh Adi Safarman