
SARATOK: Tiga lelaki tempatan ditahan dalam satu operasi khas membanteras aktiviti pengedaran dan penagihan dadah di kawasan hutan Jalan Roban Lama, semalam.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, operasi yang dijalankan oleh Task Force Op Tapis Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok dengan bantuan Unit MPV STK 102 itu dilaksanakan antara 2.00 petang hingga 11.00 malam.
“Bertindak atas maklumat, pasukan yang diketuai Inspektor Wealy James telah menyerbu sebuah pondok di kawasan hutan yang dipercayai digunakan sebagai lokasi pengedaran dan penagihan dadah.
“Dalam serbuan itu, tiga suspek lelaki berjaya ditahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pondok berkenaan turut dimusnahkan oleh pihak polis bagi mengekang aktiviti penagihan di kawasan tersebut.


TIGA lelaki tempatan ditahan dalam satu operasi khas di kawasan hutan Jalan Roban Lama, semalam. Foto: IPD Saratok
Hasil ujian saringan air kencing mendapati ketiga-tiga suspek berusia antara 18 hingga 22 tahun positif dadah jenis Amphetamine/Metamphetamine.
Menurut Mathew, dua daripada mereka mempunyai rekod lampau berkaitan kes narkotik.
Kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Polis Saratok akan terus mempergiatkan usaha membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah di daerah ini demi kesejahteraan masyarakat,” tambah beliau. Oleh Adi Safarman