Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • MBKS komited bantu penjaja kecil, kekal sewa antara terendah
  • TEMPATAN

MBKS komited bantu penjaja kecil, kekal sewa antara terendah

Utusan Sarawak 11 hours ago
DATUK Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng, berucap pada Majlis Pelantikan Jawatankuasa Perhubungan Pasar dan Penjaja 2026 di Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), hari ini. Foto Adele Rissa

KUCHING: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) akan terus mengekalkan kadar sewa tapak penjaja antara yang terendah di bandar raya ini bagi membantu peniaga kecil serta memastikan harga makanan kekal berpatutan untuk orang ramai.

Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng berkata, MBKS menanggung kos penyelenggaraan tahunan kira-kira RM1 juta yang merangkumi pembaikan lampu, kipas, gas dan kerja baik pulih, selain akan menyediakan meja dan kerusi baharu bagi memberi sokongan tambahan kepada penjaja.

“Kita kekalkan kadar sewa rendah supaya penjaja dapat menawarkan harga yang adil kepada pengguna. Itulah cara kita kekal kompetitif,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelantikan Jawatankuasa Perhubungan Pasar dan Penjaja 2026 di Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), hari ini.

Namun, beliau turut mengingatkan penjaja agar tidak mengenakan harga seperti di restoran walaupun menerima pelbagai kemudahan daripada pihak majlis.

Dato Wee Hong Seng bergambar bersama ahli Jawatankuasa Perhubungan Pasar dan Penjaja 2026 selepas majlis pelantikan di Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), hari ini. Foto Adele Rissa

“Anda tidak membayar sewa RM7,000 atau RM10,000 seperti di restoran. Pusat penjaja bukan restoran. Perniagaan perlu untung, tetapi biarlah dengan keuntungan yang berpatutan,” tegasnya.

Datuk Wee menjelaskan bahawa persaingan daripada pasar raya selepas pandemik menjadi antara punca wujudnya gerai kosong, justeru penjaja perlu bekerjasama bagi mengekalkan daya tarikan kepada pelanggan.

“Pasar ini bukan milik majlis semata-mata. Ia juga milik penjaja dan pelanggan yang berbelanja di sini. Apa yang majlis beri, anda juga perlu kembalikan,” ujarnya sambil menyeru agar ahli jawatankuasa memainkan peranan melaporkan isu kebersihan dan keselamatan untuk tindakan segera.

Bagi memperkukuh kerjasama, MBKS merancang mengadakan sesi libat urus bersama penjaja sekurang-kurangnya sekali setahun bermula 2026. 

Selain itu, kempen ‘Sayangi Pasar Anda’ akan diperkenalkan bagi memupuk semangat perpaduan, kebanggaan dan identiti pasar yang lebih kukuh.

Merujuk kejayaan Kuching Natural Farmers’ Market yang berkembang daripada 15 kepada hampir 50 gerai, beliau yakin pasaran tempatan mampu kembali rancak sekiranya semua pihak bekerjasama dan saling menyokong.

Pada majlis yang diadakan hari ini, seramai 30 ahli Jawatankuasa Perhubungan Pasar dan Penjaja menerima surat pelantikan masing-masing, sekali gus memperkukuh kerjasama antara MBKS dan komuniti peniaga.

Oleh Adele Rissa

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: 5,369 rumah PPRS di Sarawak dilaksana tahun ini – KKDW
Next: Ayob Khan tolak dikait ketuai siasatan isu FAM

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.