KUCHING: Masyarakat Bidayuh di negeri boleh membalas jasa baik Kerajaan Sarawak yang dipimpin oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang tidak lama lagi.
Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Dato Sri Michael Manyin Jawong berkata, beliau mahu memastikan bahawa lapan kerusi masyarakat Bidayuh di Sarawak akan ditawan oleh GPS pada PRN nanti.
“Tidak lama lagi, dalam tempoh satu dua tiga atau empat bulan nanti, Sarawak akan mengadakan PRN atau selewat-lewatnya bulan Jun tahun hadapan.
“Dan inilah masanya untuk masyarakat Bidayuh membalas balik jasa baik GPS dengan mengembalikan lapan kerusi iaitu Opar, Tasik Biru, Serembu, Mambong, Tarat, Tebedu, Kedup dan Bukit Semuja.
“Seperti kata pepatah, ada padi ada beras, ada budi ada balas, anda tidak perlu risau dengan siapa calon yang bertanding, apa yang penting adalah lambang GPS,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Penyampaian Geran untuk Hostel Komuniti Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) bertempat di Ibu Pejabat DBNA, di sini, semalam.
“Jadi, jika kita dapat menyampaikan (memenangi lapan kerusi) semasa PRN nanti, ia membuktikan bahawa masyarakat Bidayuh mempunyai satu hati, satu fikiran dan satu Bidayuh.
“Bidayuh adalah komuniti kecil yang hanya lapan peratus daripada rakyat Sarawak, jadi kita mesti bersatu padu dan menguatkan kerjasama untuk berbakti kepada negeri dan juga negara,” ujarnya.
Manyin turut menepis dakwaan sesetengah pihak yang mempertikaikan usaha DBNA dengan menyatakan pihaknya adalah organisasi tanpa keuntungan yang bekerja secara sukarela tanpa bayaran, namun pihaknya tetap melakukan yang terbaik demi kemajuan masyarakat Bidayuh.
Bercakap mengenai hostel komuniti DBNA itu, Manyin yang juga penasihat DBNA berkata ia akan melengkapkan kemudahan yang ada di kompleks DBNA dengan siapnya asrama tersebut dalam tempoh dua tahun lagi.
“Dengan adanya hostel ini, ia akan melengkapkan DBNA kerana kita mempunyai dewan, baruk dan asrama yang membolehkan masyarakat luar bandar datang dan menginap di sini.
“Dan kita dapat mengenakan bayaran pada kadar minimum dan dari situ DBNA akan menjana pendapatan sendiri yang mana ia akan menjadi kemudahan jangka masa panjang,” jelasnya.
Oleh Zarina Abdullah