KUCHING: Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg memaklumkan bahawa beliau mempunyai beberapa visi untuk meningkatkan pendapatan negeri, tetapi tidak dapat mendapat mendedahkannya kepada umum buat masa ini.
Bagaimanapun katanya, semua pihak perlu bekerjasama secara kolektif bagi menyediakan kemudahan kepada generasi muda khasnya prasarana ekonomi digital.
“Ada beberapa cara lagi yang boleh kita lakukan untuk meningkatkan hasil dan ekonomi negeri, tetapi ia tidak dapat didedahkan kepada anda sekarang.
“Ini kerana kita harus mempelbagaikan dan memperkuat ekonomi kita dan tidak boleh bergantung 100 peratus kepada orang lain untuk membangunkan negeri.
“Atas sebab itulah saya menyatakan bahawa menjelang tahun 2030, Sarawak akan menjadi negeri termaju di Malaysia dan kita mahu memanfaatkan sumber negeri termasuk pengembangan bakat melalui interaksi ilmu pengetahuan terkini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Penyampaian Geran untuk Hostel Komuniti Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) bertempat di Ibu Pejabat DBNA, di sini, semalam.
Ujarnya, semasa beliau mula-mula menjadi Ketua Menteri tiga tahun lalu, beliau bimbang kerana dimaklumkan bahawa kos operasi semakin meningkat manakala pendapatan masih tidak stabil.
“Oleh yang demikian, kita harus meningkatkan projek pembangunan kita, tetapi kita tidak dapat meningkatkan jika pendapatan kita tidak besar.
“Jadi saya melihat perlembagaan negeri serta Perjanjian Malaysia (1963), kita berhak untuk mengenakan cukai jualan ke atas hasil minyak dan gas, jadi kita melaksanakannya yang mana akhirnya membuahkan hasil untuk menjana pendapatan negeri.
“Maka setelah melihat daripada hasil ini, kita akan akan berkembang dari segi sektor lain termasuk pendidikan yang mana akan membina lima sekolah antarabangsa yang mana pelajar di sini boleh kita latih dalam disiplin ekonomi masa kini termasuk ekonomi siber dan digital,” jelasnya.
Tambahnya, ia adalah salah satu cara kerajaan untuk menghadapi masa hadapan dan beliau akan terus membangunkan beberapa sektor lain untuk ekonomi negeri serta memanfaatkan hasil yang ada.
Turut hadir, Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Dato Sri Michael Manyin Jawong, Duta Khas Perdana Menteri Ke Asia Timur yang juga Ahli Parlimen Serian Datuk Seri Richard Riot Jaem, Menteri Muda Pengangkutan Datuk Dr Jerip Susil, Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah, Datuk Roland Sagah Wee Inn dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datu Ik Pahon Joyik.
Oleh Zarina Abdullah