
SARATOK: Program Hospital Bersama Komuniti yang berlangsung di Pentas Utama Sri Kalaka, di sini semalam berjaya menarik penyertaan ramai penduduk setempat dalam usaha memperkukuh hubungan antara Hospital Saratok dan komuniti daerah ini.
Program anjuran Ahli Lembaga Pelawat Hospital (ALPH) Hospital Saratok dengan kerjasama Kelab Perubatan Cawangan Saratok serta Kelab Rekreasi dan Kebajikan Hospital Saratok itu mendapat sambutan hangat daripada masyarakat pelbagai lapisan umur.
Majlis dimulakan dengan bacaan doa dan ucapan aluan oleh Pengarah Hospital Saratok, Dr. Dayang Suhaila Abang Mohamed, sebelum disempurnakan perasmiannya oleh Pengerusi ALPH Hospital Saratok, Yusuf Trang.


Antara pengisian utama program termasuk Kempen Derma Darah, Pemeriksaan Kesihatan Percuma, Ceramah Pemakanan Sihat, Pertandingan Melukis Kanak-kanak, serta Pameran Perkhidmatan Hospital Saratok.
Menurut Dr. Dayang Suhaila, penganjuran program ini bukan sahaja bertujuan mendekatkan hospital kepada masyarakat, tetapi juga meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan gaya hidup sihat dan penjagaan kesihatan secara berterusan.
“Kesihatan adalah tanggungjawab bersama. Program seperti ini menjadi platform penting untuk menggalakkan masyarakat menjaga kesihatan secara proaktif,” katanya.
Program berakhir dengan ucapan penghargaan kepada semua penganjur, peserta, dan pengunjung yang turut sama menjayakan inisiatif komuniti berimpak tinggi ini.
Turut hadir, wakil-wakil Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka dan Krian Krian, ketua kaum, penghulu kampung sekitar Saratok, serta ketua-ketua jabatan kerajaan Daerah Saratok.
Oleh Adi Safarman