
SIBU: Sarawak mencatat jumlah kedua tertinggi di negara ini dengan 1,092 kawasan Rukun Tetanga (RT), sekali gus membuktikan peranan RT masih relevan dalam usaha meningkatkan perpaduan dan keharmonian masyarakat.
Pengarah Perpaduan Negeri, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Sarawak Dirwana Azool berkata penubuhan RT di Semenanjung Malaysia telah bermula sejak 50 tahun manakala di Sarawak sekitar 1988.
Menurutnya, walaupun Sarawak kini jauh lebih maju, namun RT masih memainkan peranan penting dari perspektif negeri itu.
Beliau berkata sepanjang tempoh berkenaan, gerakan RT telah melalui pelbagai transformasi daripada menumpukan kepada rondaan keselamatan di kawasan perumahan pada awal penubuhannya kepada pendekatan yang lebih menyeluruh kini.
“Kewujudan RT memberi tumpuan kepada program keselamatan di mana pada asalnya sesiapa sahaja ahli atau pemastautin dalam kawasan perumahan tersebut diwajibkan meronda apabila berumur 18 tahun dan ke atas.
“Namun, bagi kita di Sarawak tidak ada (wajib bagi ahli atau pemastautin membuat rondaan), sebabnya kita adalah penduduk yang aman dan damai,” katanya ketika berucap pada Program Semarak Perpaduan Sempena Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Rukun Tetangga peringkat Bahagian Sibu di sini, malam tadi.
Sambutan jubli emas itu dirasmikan Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Datuk Michael Tiang Ming Tee.
Dirwana berkata pada 1983, RT mula memberi penekanan kepada aspek kejiranan dengan menganjurkan pelbagai program yang dapat meningkatkan interaksi dan hubungan baik antara masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.
“Pada awal 2000 kerajaan memikirkan RT perlu diubah lagi pendekatannya iaitu kita memberi pendekatan kepada pembangunan komuniti. RT dibenarkan untuk membuat kerjasama dengan agensi lain dan boleh meminta bantuan daripada wakil rakyat untuk mengadakan program.
“Kita mahu RT itu meningkatkan kualiti hidup dalam kawasannya, cantikkan pemandangan rumah dan sebagainya dan kita bekerjasama dengan pihak PBT dalam menjalankan inspirasi ini. Tapi bila kita berubah kepada 2010 dengan penggunaan teknologi moden banyak diperkenalkan,” katanya.
Berikutan transformasi itu, beliau berkata RT telah didedahkan dengan penggunaan teknologi moden dan pemimpin serta ahlinya mesti bijak menyesuaikan diri dengan perubahan dalam masyarakat masa kini.
Tiang berkata kerajaan turut menyalurkan peruntukan kepada kawasan RT terpilih bagi menjayakan program ekonomi di peringkat komuniti dan usaha itu akan diteruskan bagi meningkatkan kualiti hidup serta keupayaan bersaing dalam masyarakat moden.
-Bernama