Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Saranan kuasai 30 tanda BIM untuk perkhidmatan awam lebih inklusif
  • SEMASA

Saranan kuasai 30 tanda BIM untuk perkhidmatan awam lebih inklusif

Utusan Sarawak 1 day ago
DATUK Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng bersamatetamu kehormat lain dan hadirin mengambil foto beramai-ramai sebagai kenangan program sambutan Hari Isyarat dan Tangan 2025. Foto Amanda L

KUCHING: Semua petugas barisan hadapan di agensi kerajaan dan sektor perkhidmatan awam serta swasta digesa menguasai sekurang-kurangnya 30 tanda asas Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) sebagai langkah segera memudahkan urusan harian komuniti pekak.

Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng berkata penguasaan asas BIM seperti salam, arah, nombor dan frasa kecemasan mampu mengubah pengalaman hidup golongan Pekak dalam sekelip mata.

“Jika setiap kaunter di Kuching mampu menguasai 30 tanda asas sahaja, pengalaman harian warga pekak akan berubah semalaman.

“Komunikasi adalah hak asas, bukan keistimewaan. Akses bahasa merupakan jambatan kepada pendidikan, pekerjaan, kesihatan, keselamatan serta penyertaan penuh dalam masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Hari Isyarat dan Tangan 2025 di sini, hari ini.

DATUK Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng menurunkan tandatangan bagi merasmikan tapak pameran SeDidik pada Hari Isyarat dan Tangan 2025, hari ini. Foto Amanda L

Menurutnya, BIM perlu diperkasa bukan hanya di sekolah tetapi turut dinormalisasikan di klinik, bank, balai polis, rumah ibadat, tempat kerja, pasar raya dan acara awam.

“Inklusiviti tidak boleh terhenti di pagar sekolah. Ia mesti kelihatan di semua ruang komuniti,” ujarnya.

Wee turut memuji usaha Persatuan Orang-Orang Pekak Sarawak (SSD) dan SeDidik Sarawak yang telah menterjemah prinsip inklusi kepada tindakan konkrit seperti melatih guru, membekalkan peralatan visual di prasekolah serta menggalakkan keluarga mempelajari BIM.

“Pendedahan awal, sama ada kepada kanak-kanak pekak atau mendengar, mengajar bahawa bahasa juga boleh bersifat visual dan perbezaan bukanlah kekurangan.

“Inspirasi yang kita tonjolkan hari ini mesti diteruskan melalui dasar, peruntukan dan latihan agar inklusiviti kekal sebagai amalan berterusan,” tegasnya.

Hari Isyarat dan Tangan 2025 dianjurkan oleh SSD bersama SeDidik Sarawak untuk memperkasa masyarakat mengenai akses bahasa dan mempromosi penggunaan BIM sebagai bahasa rasmi komuniti Pekak di negara ini.

Oleh Amanda L

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: ‘Energy Street’ cerminan kuasa tenaga masa depan Sarawak – Premier Sarawak
Next: Ribut petir diramal landa beberapa negeri termasuk Sarawak

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.