
SIBU: Lebih 3,000 pasangan Islam di seluruh Sarawak mengikuti sesi kaunseling syarie tahun ini dengan ketiadaan persefahaman dikenal pasti sebagai punca utama permohonan penceraian.
Pegawai Bahagian Kaunseling, Syarie dan Pembangunan Psikologi Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), Mohammad Saharuddin Jamali, berkata sekitar 70 peratus daripada jumlah itu membabitkan pasangan yang berkahwin antara satu hingga lima tahun.
“Kebanyakan pasangan yang hadir untuk sesi kaunseling menyatakan sebab utama mereka ingin bercerai adalah kerana sudah tidak lagi mempunyai persefahaman dalam hubungan.
“Namun, ketiadaan persefahaman ini sebenarnya berpunca daripada pelbagai faktor lain seperti sikap tidak bertanggungjawab, curang dan penderaan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penangguhan Seminar Kaunseling Syarie Tahun 2025 di Dewan Kompleks Islam di sini, petang semalam.
Majlis berkenaan disempurnakan oleh Timbalan Pengarah JAIS, Ustaz Abang Borhanuddin Abang Ahmad Masuine, yang mewakili Pengarah JAIS, Sahibus Siyadah Ustaz Mual Suaud.
Mengulas lanjut, Saharuddin berkata, secara purata Sarawak merekodkan antara 1,700 hingga 1,800 kes perceraian pasangan Islam setiap tahun, berbanding sekitar 7,000 pendaftaran perkahwinan baharu.

“Tahun ini terdapat sedikit peningkatan dalam jumlah pasangan yang bercerai, tetapi tidak ketara. Kebanyakan kes melibatkan pasangan yang berkahwin antara satu hingga lima tahun,” jelasnya.
Sementara itu, Pemangku Bahagian Kaunseling, Syarie dan Pembangunan Psikologi JAIS, Ustazah Dr. Safura Ahmad Sharkawi, berkata penganjuran seminar tersebut bertujuan memberi pemahaman kepada masyarakat tentang kepentingan khidmat kaunseling syarie dalam menangani isu kehidupan seharian.
“Seminar ini juga memberi kesedaran mengenai kepentingan keseimbangan antara kerjaya dan rumah tangga bagi memelihara kesejahteraan mental dalam keluarga.
“Selain itu, ia turut memberi pendedahan mengenai isu-isu dalam perkahwinan serta pendekatan Islam dalam menghadapinya,” katanya.
Menurut beliau, program seumpama itu juga dapat memperkukuh pengetahuan dan kemahiran warga JAIS dalam memberikan khidmat kaunseling berlandaskan syariat Islam serta memperkukuh nilai integriti dan kesejahteraan mental dalam kalangan penjawat awam.
Turut hadir, Temenggung Dato Sri Wan Hamid Edruce, Ketua Bahagian Pentadbiran dan Pengurusan Sumber JAIS Sharifah Zakiah Tuanku Pauzi, serta pegawai-pegawai kanan JAIS yang lain.
Oleh Tarani Lanting