
KUALA LUMPUR: Kerajaan Sarawak akan menggubal satu undang-undang baharu bagi mengurus dan memanfaatkan sisa kelapa sawit sebagai sumber produktif dalam memperkasa industri penternakan dan veterinar di negeri ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata langkah tersebut merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan negeri menstruktur semula pendekatan sektor pertanian, khususnya dalam bidang pengeluaran haiwan ternakan.
“Ketika ini kita memang kekurangan pakar dalam industri veterinar. Pada masa sama, harga sapi di Sarawak semasa musim korban mencecah RM12,000 seekor dan kebanyakannya pula kurus kerana bekalan makanan haiwan yang terhad.
“Sebab itu kita hendak menstruktur semula pendekatan pertanian dari segi pengeluaran haiwan. Dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) bulan November nanti, kita akan menggubal satu undang-undang untuk menguruskan sisa yang ada kaitan dengan industri haiwan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sesi townhall bersama Premier Sarawak sempena Lan Berambeh Anak Sarawak 2025 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, hari ini.

Menurut Abang Johari, sisa kelapa sawit yang sebelum ini tidak diurus dengan baik boleh dijadikan sumber baharu bagi penghasilan makanan haiwan melalui proses biojisim.
“Saya telah mencuba di Lubok Antu bersama SALCRA, di mana kita memecahkan isirung kelapa sawit menjadi biojisim. Apabila dicampur sedikit dengan rumput napier atau rumput gajah, ia boleh dijadikan makanan haiwan.
“Dengan cara ini, kita boleh menternak secara sistem tertutup menggunakan makanan khas dan tidak lagi perlu mengamalkan kaedah meragut terbuka seperti di Australia.
“Kaedah ini bukan sahaja membantu meningkatkan pengeluaran daging tempatan, malah menjadi sebahagian daripada program ekonomi kitar semula dengan memanfaatkan sisa untuk menjana hasil,” jelasnya.
Tambah beliau, usaha itu juga akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada graduan dalam bidang veterinar dan penternakan di Sarawak.
“Saya akan rujuk perkara ini kepada Dato Sri Dr. Rundi, dan saya alu-alukan anak Sarawak yang bekerja dalam bidang veterinar untuk pulang dan membantu membangunkan industri ini,” katanya.
Abang Johari turut menegaskan kepentingan memperkukuh bidang veterinar bukan sahaja bagi tujuan makanan, tetapi juga bagi mengawal penyakit haiwan seperti rabies, yang masih menjadi ancaman di negeri ini.
“Saya berharap dengan adanya sekolah veterinar di Universiti Putra Malaysia (UPM), ia akan memperkasakan lagi bidang ini, membantu kita mengawal penyakit, serta memastikan keselamatan makanan negeri,” ujarnya.
Oleh Shahrul Qaizat