Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • RENCANA
  • Bahan plastik, fabrik terpakai jadi produk bernilai melalui sentuhan kreativiti kitar tinggi
  • RENCANA

Bahan plastik, fabrik terpakai jadi produk bernilai melalui sentuhan kreativiti kitar tinggi

Utusan Sarawak 14 hours ago
TEMU bual bersama Rebecca Becs Yau sempena RIUH X ASEAN Marketplace 2025 di Stadium Merdeka baru-baru ini. Siapa sangka, inisiatif seorang wanita berusia 45 tahun ini menggunakan bahan kitar tinggi (upcycle) untuk mencipta produk jualannya berjaya menyelamatkan 2.2 tan sisa plastik buangan serta 0.6 tan fabrik terpakai daripada berakhir di tapak pelupusan, tahun lepas. Melalui jenama yang diasaskannya, Ekha, Rebecca Becs Yau bukan sahaja menjadikan sisa bahan sebagai sumber rekaan kreatif, malah membuktikan bahawa pendekatan mesra alam juga mampu memberi nilai ekonomi apabila diolah dengan sentuhan seni dan keusahawanan. Katanya, idea itu tercetus ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun 2020, setelah melihat lambakan sisa kain yang tidak digunakan di kedai pakaian terpakai, sekali gus mendorongnya berfikir secara kritis tentang cara menyelamatkan bahan-bahan tersebut daripada dibuang. Foto BERNAMA

BAGI kebanyakan orang, kain terpakai dan plastik buangan mungkin tiada nilai namun, bagi Rebecca Becs Yau ia merupakan ‘harta tersembunyi’ yang boleh diubah menjadi produk bernilai tinggi dengan sentuhan seni, kreativiti dan keusahawanan.

Melalui jenamanya, Ekha, wanita berusia 45 tahun ini membuktikan bahawa kreativiti dan kesedaran alam sekitar boleh berjalan seiring, malah usahanya itu berjaya menyelamatkan lebih 2.2 tan sisa plastik dan 0.6 tan fabrik terpakai daripada berakhir di tapak pelupusan tahun lepas.

Ibu kepada seorang cahaya mata itu berkata idea untuk menghasilkan produk daripada bahan kitar semula itu tercetus ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020 apabila beliau melihat lambakan kain tidak digunakan di kedai pakaian terpakai.

“Dari  situ, timbul ilham untuk mengitar tinggi (upcycle) bahan-bahan itu agar tidak dibuang begitu sahaja. Ada terlalu banyak kain tidak digunakan, jadi saya buat penyelidikan apa yang boleh dihasilkan daripadanya antaranya, kami hasilkan lanyard dan sambutan baik daripada syarikat korporat. 

”Kemudian, saya mula beri perhatian kepada plastik sebab ia bahan sekali guna. Saya banyak rujuk video luar negara untuk dapatkan idea bagaimana upcycle bahan ini sebelum hasilkan produk seperti beg tangan,” katanya ketika ditemui Bernama di RIUH X ASEAN 2025 di Stadium Merdeka, di sini.

Selain lanyard, produk lain yang turut dihasilkan daripada kain terpakai adalah beg kecil, beg tangan, dompet, gantungan kunci sementara plastik terpakai pula boleh mencipta pelbagai barangan tetapi prosesnya perlu menggunakan seterika, lapisan kertas pembakar dan plastik.

Wanita ini mengambil masa lebih setahun bereksperimen bagi mendapatkan tekstur dan ketahanan yang sesuai sebelum menjadikannya produk jualan, sambil mengakui pada awalnya agak sukar menghasilkan produk daripada barangan terpakai kerana setiap bahan memberikan tindak balas berbeza.

“Kita buat R&D (penyelidikan dan pembangunan) banyak kali sebab nak tahu berapa lapis plastik perlu digunakan supaya boleh tahan lama. 

“Semasa awal buat proses ini, memang selalu tangan terkena seterika kerana belum mahir lagi,” katanya sambil menambah latihan berterusan dan pengalaman membolehkannya kini menyiapkan satu beg kecil berukuran 10 sentimeter kurang dari 20 minit.

Tidak sendirian menghasilkan produk tersebut,  Yau sebaliknya turut melibatkan komuniti seperti ibu tunggal, individu pekak dan bisu dengan kesemua barangan yang dihasilkan adalah secara manual tanpa bantuan mesin sekali gus membantu kesejahteraan ekonomi setempat.

Berkongsi lanjut mengenai prosesnya, anak jati Kuala Lumpur ini berkata kerja-kerja mengitar tinggi plastik itu menggabungkan beberapa lapisan bahan bagi membentuk helaian yang lebih tebal dan tahan lasak.

“Awalnya, kami cuba dua, tiga lapisan tetapi kini ada yang mencecah hingga 250 lapisan untuk mendapatkan ketebalan diinginkan bahkan saya sendiri pernah menghasilkan sebuah beg yang masih kukuh hingga kini,” katanya sambil menambah beg itu boleh menampung berat barang hingga 50 kilogram (kg).

Mempunyai dua studio masing-masing di Damansara, Selangor dan Langkawi, Kedah, Yau berkata tiada pewarna atau cat tambahan digunakan sebaliknya mengekalkan warna asal plastik manakala sebahagian produk digabungkan dengan lebihan kain bagi memberikan corak dan tekstur lebih menarik.

Menurutnya, antara kelebihan utama bahan ini ialah sifatnya yang kalis air dan tahan lasak, menjadikannya sesuai untuk pelbagai barangan seperti beg pantai atau aksesori harian.

Sumber utama plastik pula diperoleh daripada pusat kitar semula yang mengumpulkan dan membersihkan bahan buangan sebelum dijual semula kepada pihaknya.

“Sumber utama plastik, kami peroleh daripada pusat kitar semula. Kami beli dalam jumlah besar, biasanya beratus kilogram pada satu masa. Contohnya dengan RM150, kita boleh dapat sekitar 200 kg plastik yang dah dibersihkan untuk diproses semula di studio kami,” katanya.- Bernama

Continue Reading

Previous: Desaru Fruit Farm syurga buat pencinta buah tropika

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.