Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • RENCANA
  • Desaru Fruit Farm syurga buat pencinta buah tropika
  • RENCANA

Desaru Fruit Farm syurga buat pencinta buah tropika

Utusan Sarawak 19 hours ago
PEMANDU Pelancong Desaru Fruit Farm, Zaranah Yaakub memberi taklimat mengenai pokok belimbing kepada para peserta Famtrip Majestic Johor Bersama Media bersempena dengan Tahun Melawat Johor 2026, baru-baru ini. Desaru Fruit Farm berkeluasan lebih 32 hektar, ditanam dengan ratusan pokok seperti nona, sukun, koko malah kopi robusta sedang lebat berbuah dan ada yang sudah ranum sedia untuk dipetik. Dengan lebih 100 jenis pokok buah-buahan tropika, destinasi agropelancongan ini menjadi tumpuan mereka yang ingin menikmati buah-buah segar terus dari ladang, sambil menimba pengetahuan tentang setiap jenis pokok. Foto BERNAMA

BUAT pencinta buah-buahan tropika, Desaru Fruit Farm seluas lebih 32 hektar di sini pasti seakan syurga dengan ratusan pokok seperti nona, sukun, koko malah kopi robusta sedang lebat berbuah dan ada yang sudah ranum sedia untuk dipetik

Ditanami dengan lebih 100 jenis pokok buah-buahan tropika, destinasi agropelancongan ini menjadi tumpuan mereka yang ingin menikmati buah-buah segar terus dari ladang di samping menimba pengetahuan tentang setiap jenis pokok. 

Pemandu pelancong Desaru Fruit Farm Zaranah Yaakub berkata antara yang sering menarik perhatian pengunjung ialah buah ciku.

“Buah ciku ini menghasilkan getah putih yang sebenarnya menjadi bahan asas dalam pembuatan gula-gula getah. Kalau ada yang bertanya mengapa tidak ambil daripada pokok getah? Jawapannya ialah susu getah beracun (tidak sesuai dimakan oleh manusia) dan cepat mengeras,” katanya dalam taklimat kepada peserta Famtrip Majestic Johor Bersama Media bersempena dengan Tahun Melawat Johor 2026, baru-baru ini.

Jelas beliau, getah ciku pula boleh dimakan selain mempunyai tekstur melekit seakan gam menjadikannya bahan paling sesuai untuk menghasilkan gula-gula getah.

Dalam kalangan pelawat asing pula, katanya mereka lebih tertarik kepada buah pisang monyet dan markisa kerana tanaman berkenaan tidak ada di negara mereka.

“Umumnya mereka tertarik kepada pokok-pokok asal tempatan kerana tidak ada di negara mereka. Ada juga yang berkongsi buah seperti nangka yang bersaiz lebih besar di negara mereka,” katanya.

Ladang yang dibangunkan kira-kira 31 tahun lalu itu turut menempatkan 37 spesies haiwan di zoo mini, antaranya kambing, burung merak, unta, llama dan beberapa jenis itik.

“Kawasan zoo mini atau ‘petting zoo’ ini meriah ketika musim cuti sekolah apabila ibu bapa membawa anak-anak mereka datang melihat haiwan-haiwan yang kita ada, memberi haiwan itu makan sambil belajar tentang tabiat dan habitat haiwan terbabit,” kata beliau.

Seorang daripada pengunjung, Mohd Azad Azmi, 38, berkata lawatan ke ladang itu memberikannya pengalaman yang membuka mata tentang kepelbagaian hasil bumi Malaysia dan cara masyarakat tempatan memanfaatkannya dalam kehidupan seharian.

“Saya lebih tertarik kepada buah, kerana sepanjang ‘tour’ ada ‘guide’ yang akan terangkan dengan jelas setiap spesies pokok buah dan secara tidak langsung saya juga dapat belajar tentang penanaman dan penjagaan pokok bagi menghasilkan buah berkualiti,” katanya.

Setiap pengunjung dikenakan bayaran masuk RM40 untuk dewasa dan RM35 bagi kanak-kanak.- Bernama

Continue Reading

Previous: Puja puji bila berjanji
Next: Bahan plastik, fabrik terpakai jadi produk bernilai melalui sentuhan kreativiti kitar tinggi

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.