KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Tan Sri Dr Rais Yatim dimasyhurkan sebagai Yang Dipertua Dewan Negara Ke-18 semalam.
Rais, 78, merupakan antara tiga calon yang dikemukakan untuk memegang jawatan itu selain Senator Mohd Yusmadi Mohd Yusoff dan Senator Theodore Douglas Lind.
Bagaimanapun, Theodore menarik diri pada saat akhir.
Pemilihan Yang Dipertua Dewan Negara baharu dibuat bagi menggantikan Tan Sri S. A. Vigneswaran yang tamat perkhidmatan pada 22 Jun lepas, dilakukan menerusi undi bersurat.
Keputusan undian itu menyaksikan Rais memperoleh 45 undi manakala Mohd Yusmadi 19 undi dan seorang tidak hadir.
Keputusan undian diumumkan oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara Senator Datuk Seri Abdul Halim Abd Samad.
Terdahulu, usul pencalonan Rais dilakukan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Takiyuddin Hassan mewakili Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengikut Peraturan Mesyuarat 4(1), Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
Usul itu disokong oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Shabudin Yahya manakala pencalonan Mohd Yusmadi dilakukan oleh Senator Dr Ahmad Azam Hamzah.
Berlaku sedikit perbahasan apabila pencalonan Rais dipertikai oleh Senator Nga Hock Cheh yang menganggap ia bertentangan dengan Peraturan Mesyuarat Dewan Negara memandangkan Muhyiddin bukan Ahli Dewan Negara.
“Dinyatakan setiap Ahli Dewan Negara yang hendak mencadangkan ahlinya sebagai calon Yang Dipertua Dewan mestilah memastikannya suka berkhidmat dan cadangan perlulah diberikan dalam tempoh dua hari sebelum tempoh persidangan.
“Saya ingin berhujah bahawa Muhyiddin bukan Ahli Dewan Negara, maka Yang Amat Berhormat tidak berhak mencalonkan Tan Sri Rais Yatim sebagai calon untuk jawatan ini. Sehubungan itu, pencalonan ini harus ditolak,” katanya.
Bagaimanapun hujahan itu ditolak oleh Abdul Halim dan memutuskan Muhyiddin sememangnya berhak mencalonkan Rais.
“Saya mendengar dengan penuh teliti dan faham, walaupun perdana menteri bukan Ahli Dewan Negara tetapi beliau merupakan Ketua Majlis yang bertindak dalam menentukan tarikh persidangan Dewan Negara dan Dewan Rakyat.
“Tidak dinyatakan dalam mana-mana Peraturan Mesyuarat hanya Ahli Dewan Negara sahaja yang boleh mencalonkan seorang ahli yang lain sebagai calon Yang Dipertua Dewan Negara,” katanya.
Perkara yang dinyatakan oleh Timbalan Speaker itu kemudiannya disokong oleh Takiyuddin.
Walaupun Nga cuba membantah, Abdul Hamid menyatakan keputusannya muktamad dan memutuskan untuk menjalankan pemilihan dengan undi bersurat memandangkan pencalonan lebih daripada seorang, bersesuaian dengan Peraturan Mesyuarat 2 (3). – Bernama