
KUCHING: SDEC Karuna JV Sdn Bhd (SKJV) dan Mandrill Tech Sdn Bhd telah memeterai Memorandum Persefahaman Strategik (MoU) untuk mempercepatkan transformasi bandar pintar Sarawak melalui kecerdasan buatan (AI) serta penyelesaian kemampanan digital.
Syarikat-syarikat itu melalui satu kenyataan bersama hari ini berkata pertukaran MoU pada 22 Oktober di Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2025 di sini menggariskan perkongsian komitmen mereka untuk memajukan matlamat transformasi digital negari itu.
Majlis pertukaran tersebut disaksikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Francis Harden Hollis serta Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) dan Pengerusi SKJV Datuk Sudarmoto Osman.
Kerjasama dua tahun itu akan menyaksikan kedua-dua pihak meneroka, membangun selain melaksanakan penyelesaian digital serta alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) di seluruh sektor seperti mobiliti bandar, perkhidmatan awam dan pengurusan alam sekitar.
Pengurus Besar SKJV Muhammad Fa’izzul Zaidi berkata perkongsian itu menandakan satu langkah penting ke arah merealisasikan visi bandar pintar Sarawak.
“Visi bandar pintar Sarawak memerlukan perkongsian yang mantap yang menggabungkan pemahaman tempatan dengan kepakaran teknologi bertaraf dunia,” katanya.
Beliau berkata mengintegrasikan keupayaan Mandrill Tech dalam AI, pembelajaran mesin serta platform awan dengan pengetahuan dalam pasaran tempatan SKJV akan membantu menyampaikan perkhidmatan digital yang berpusatkan rakyat dengan cekap, mampan dan inklusif.
Ketua Pegawai Eksekutif Mandrill Tech Davent Low berkata syarikat itu amat berbangga kerana dapat menyumbang kepakaran AI dan ESGnya kepada Inisiatif Bandar Pintar Sarawak.
“Mandrill Tech berbangga dapat menghulurkan platform transformasi digital khususnya, Lestar ESG dan kepakaran AI bagi memacu cita-cita Sarawak dalam Bandar Pintar,” katanya lagi.
Menurut kenyataan itu, MoU berkenaan adalah sejajar dengan Pelan Hala Tuju Ekonomi Digital Sarawak termasuk membuka jalan untuk perjanjian mengikat pada masa akan datang memandangkan kedua-dua pihak akan bekerja bagi membangunkan Sarawak yang lebih pintar, mesra alam dan berhubung sepenuhnya.
-Bernama