
MIRI: Hospital Miri telah mengadakan latihan kebakaran di Blok B sebagai usaha meningkatkan kesiapsiagaan dan kecekapan kakitangannya dalam menghadapi situasi kecemasan sebenar.
Latihan yang bermula sekitar 9.01 pagi semalam itu dimulakan dengan bunyi penggera kebakaran, sebelum pasukan Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng tiba di lokasi pada 9.30 pagi untuk menjalankan tindakan kawalan di Aras 7, Blok B, yang dijadikan lokasi simulasi kebakaran.
Senario latihan turut melibatkan pengungsian bangunan tahap dua dan melibatkan dua ‘mangsa’ yang perlu diselamatkan.
Hospital Miri menerusi satu kenyataan media berkata, latihan itu berjalan lancar dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertindak pantas mengawal keadaan.

“Pada 10.00 pagi, pihak Bomba dan PDRM mengesahkan keadaan terkawal dan Hospital Miri diminta untuk berhenti sementara,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, latihan berkenaan bertujuan memberi pendedahan kepada warga hospital tentang tatacara menghadapi kecemasan, selain mengelakkan sebarang kehilangan nyawa dan mengurangkan risiko kerosakan harta benda.
“Pihak pengurusan Hospital Miri juga akan melaksanakan post-mortem bagi mengenal pasti ruang penambahbaikan dari pelbagai aspek supaya latihan seterusnya lebih berkesan,” katanya.
Hospital Miri dalam masa sama memohon maaf kepada pesakit dan pengunjung yang mungkin mengalami kelewatan mendapatkan rawatan sepanjang sesi latihan dijalankan.
“Latihan ini dilaksanakan setiap tahun mengikut polisi sedia ada bagi memastikan kesiapsiagaan kakitangan sentiasa berada pada tahap terbaik,” tambah kenyataan itu.
Hospital Miri turut merakamkan penghargaan kepada BBP Lopeng, Ibu Pejabat Polis Daerah Miri serta syarikat konsesi yang terlibat menjayakan latihan tersebut.
Oleh Liong Chai Ling