
SIMANGGANG: Universiti Antarabangsa Quest (QIU) dikenal pasti sebagai antara rakan strategik berpotensi untuk kerjasama masa hadapan dalam meneroka peluang pelaburan baharu berasaskan tenaga bio dan industri hiliran buluh di Bahagian Sri Aman.
Perkara itu dimaklumkan susulan penyertaan Agensi Pembangunan Bahagian Sri Aman (SADA) dalam Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2025 yang berlangsung di Kuching, baru-baru ini.
Delegasi SADA diketuai oleh Pengerusinya, Dato Sri Rohani Karim, bersama Pegawai Tadbir Khas Alfred Geling Ason, Setiausaha Majlis Daerah Sri Aman Mohd Rizal Zakaria, serta Sekretariat SADA.
IDECS tahun ini bertemakan AI dan Evolusi Hijau: Pertumbuhan, Cabaran, dan Ketahanan Komuniti, menekankan integrasi teknologi pintar dan pembangunan lestari dalam memacu ekonomi hijau negeri.

Sepanjang persidangan, delegasi SADA berpeluang melawat reruai pameran utama yang menampilkan pelbagai agensi kerajaan, institusi penyelidikan serta syarikat tempatan dan antarabangsa dalam bidang teknologi, tenaga hijau dan ekonomi digital.
Antara pempamer yang menarik perhatian ialah QIU, institusi penyelidikan aktif dalam bidang pembangunan hijau, biofuel serta teknologi kultur tisu buluh.
Menurut SADA, hasil perbincangan bersama wakil QIU membuka ruang potensi besar untuk kerjasama strategik dalam membangunkan projek tenaga bio dan industri hiliran buluh, yang dijangka mampu merangsang pertumbuhan ekonomi Sri Aman, di samping memelihara kelestarian alam sekitar.
Inisiatif penyelidikan QIU turut memberi impak positif terhadap pemuliharaan alam sekitar melalui program penyerapan karbon, pemulihan tanah terbiar dan pengurangan kesan rumah hijau.

Selain kesan ekonomi dan alam sekitar, kerjasama ini dijangka memberi manfaat sosial kepada komuniti tempatan melalui peluang pekerjaan, latihan kemahiran dan pembangunan komuniti.
Rohani berkata, penyertaan SADA dalam IDECS menjadi langkah penting untuk memperluas jaringan pelaburan serta memperkukuh kedudukan Sri Aman dalam ekosistem ekonomi hijau dan digital negeri.
“IDECS ialah platform terbaik untuk kami berinteraksi dengan pemain industri dan pelabur yang memiliki kepakaran dalam bidang teknologi serta pembangunan lestari.
“SADA ingin memastikan Sri Aman turut menikmati limpahan manfaat daripada arus pembangunan digital dan hijau yang sedang berkembang pesat di Sarawak,” katanya.
Tambahnya lagi, penyertaan SADA dalam IDECS 2025 membuktikan komitmen berterusan agensi itu menyokong agenda kerajaan Sarawak menjadikan negeri ini sebagai hab ekonomi digital dan hijau terkemuka di ASEAN, sejajar dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Oleh Adi Safarman