Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Tiada penyelewengan kuantiti minyak RON95 dikesan di Bintulu
  • WILAYAH

Tiada penyelewengan kuantiti minyak RON95 dikesan di Bintulu

Utusan Sarawak 15 hours ago
ALAT pengukur khas digunakan bagi mengesahkan jumlah petrol yang dibekalkan berada dalam julat ralat yang dibenarkan.

BINTULU: Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Bintulu menegaskan bahawa tiada sebarang penyelewengan kuantiti petrol RON95 bersubsidi dikesan di salah satu stesen minyak di daerah ini, susulan dakwaan tular baru-baru ini berkaitan pelaksanaan Program BUDI95.

Ketua Cawangan KPDN Bintulu, Al Redzamani Abdul Razak berkata, pemeriksaan dijalankan segera oleh pasukan penguat kuasa bagi memastikan ketepatan ukuran pam pengisian di stesen berkenaan.

“Hasil semakan mendapati pam minyak tersebut masih dalam tempoh sah penentusahan dan diluluskan melalui pelekat rasmi yang disahkan oleh Metrology Corporation Malaysia (MCM) Cawangan Bintulu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan, ujian pengesahan menggunakan peralatan khas menunjukkan jumlah petrol yang dikeluarkan daripada pam berada dalam julat ralat dibenarkan mengikut peraturan semasa.

“Meterai keselamatan pada pam turut diperiksa dan didapati tidak menunjukkan sebarang tanda gangguan atau pengubahsuaian,” katanya.

Menurutnya, semasa ujian dijalankan, sebanyak 10 liter petrol diisi dua kali masing-masing bagi harga RM26 (tanpa subsidi) dan RM19.90 (dengan subsidi) dengan kedua-dua bacaan didapati sepadan.

“Hasil ujian tersebut jelas menafikan dakwaan bahawa kuantiti bahan api bersubsidi yang dibekalkan kepada pengguna adalah kurang daripada sepatutnya,” tambahnya.

Pemeriksaan itu dilaksanakan bersama wakil agensi pengesahan bertauliah MCM, yang berperanan menjalankan pemeriksaan dan pengujian terhadap semua peralatan ukuran termasuk pam minyak di stesen-stesen bahan api.

Al Redzamani berkata, tiada pelanggaran dikesan dan tiada tindakan diambil terhadap pengusaha stesen berkenaan, namun KPDN akan terus menjalankan pemeriksaan berkala bagi menjamin ketelusan dan melindungi kepentingan pengguna.

Beliau turut menegaskan bahawa mana-mana pengusaha stesen minyak yang didapati sengaja menipu ukuran akan berdepan tindakan tegas di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972.

Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan salah laku pengusaha stesen minyak di kawasan Bintulu boleh membuat laporan melalui portal e-aduan.kpdn.gov.my atau menghubungi KPDN Bintulu di talian 086-332176.

Oleh Carolyne Utih

Tags: wilayah

Continue Reading

Previous: Laluan Lebuh Raya Pan Borneo dekat SMK Luar Bandar Miri ditutup sementara Sabtu ini
Next: Timbalan Pengarah JPJ Sarawak adakan lawatan kerja ke JPJ Cawangan Betong

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.