SONG: Pelaksanaan projek Jalan Nanga Makut/Nanga Engkuah Katibas di sini merupakan salah satu usaha Kerajaan Sarawak yang dipimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk memberikan kemudahan kepada rakyat di negeri ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, kerajaan negeri amat komited dalam menyediakan kemudahan prasarana kepada rakyat untuk membantu meningkatkan taraf dan kualiti kehidupan mereka.
“Selain itu, pembinaan jalan raya ini merupakan antara usaha Kerajaan Sarawak bagi merancakkan lagi pembangunan dan sosioekonomi di kawasan Kapit dan Ulu Rejang,” katanya.
Ahli Parlimen Kapit itu berkata demikian pada Majlis Penyerahan Cek Pampasan Tanah Projek Jalan Nanga Makut/Nanga Engkuah Katibas Song, di Dewan Masyarakat Song, di sini, semalam.
Projek tersebut adalah di bawah Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA) yang diletakkan di bawah Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA)dan memberi fokus kepada pembangunan di kawasan seluas 38,000 kilometer persegi atau satu pertiga keluasan Sarawak.
“Melalui URDA, Kerajaan Negeri Sarawak berhasrat untuk memfokuskan kepada keperluan infrastruktur di Daerah Kapit, Daerah Belaga, Daerah Bukit Mabong, Daerah Song dan Daerah Kanowit,” jelasnya.
Alexander yang juga Timbalan Pengerusi URDA berkata, meskipun projek pembinaan jalan raya itu akan dijalankan secara ‘fast-track’, kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan kualiti pembinaannya bagi memastikan keselamatan dan keselesaan rakyat terjamin.
“Kerajaan Negeri akan sentiasa berusaha melaksanakan pembangunan berkualiti bagi kesejahteraan rakyat terutamanya di kawasan pedalaman dan luar bandar.
“Ini selari dengan aspirasi kerajaan untuk menjadikan Sarawak sebagai sebuah negeri yang berdaya saing dan maju pada masa hadapan,” tambahnya.
Turut hadir Pengarah Wilayah URDA, Joseph Belayong dan Pegawai Daerah Song, Jackline August @ August Jahar.
Oleh Zarina Abdullah