Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • Ketua Masyarakat perlu dinaik taraf, gaji minimum
  • KOLUMNIS

Ketua Masyarakat perlu dinaik taraf, gaji minimum

Utusan Sarawak 2 days ago

ELAUN Ketua Kaum (KK), Tuai Rumah dan Kapitan Cina kini adalah sebanyak RM900 sebulan sejak sekian lama.

Tanpa Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan tanpa elaun lain.

Pendek kata, itulah jumlah ‘gaji’ bersih mereka – jauh daripada gaji minimum untuk sektor pekerjaan lain sebanyak RM1,700 sebulan meskipun mereka tidak tergolong dalam skim gaji minimum wajib.

“Tetapi kami bergerak ke sana sini seperti menghadiri majlis keramaian atau lawatan ke tapak projek kerajaan, guna duit sendiri untuk minyak kereta atau motosikal.

“Makan minum pun keluar dari poket sendiri apabila menjalankan tugas rasmi kecuali makanan atau minuman disediakan penganjur terutama apabila kehadiran orang kenamaan di kampung atau rumah panjang,” keluh seorang ketua kaum.

Elaun penghulu pula RM1,200 sebulan tetapi ada potongan KWSP, yang akhirnya lebih kurang sama kadarnya dengan elaun KK.

Tetapi KK ada setiausaha untuk membantu tugas dan dibayar elaun RM300 sebulan.

PREMIER Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg (duduk tengah di barisan hadapan) bergambar bersama peserta Seminar Ahli-Ahli Majlis Lokalisasi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2025 di Kuching, kelmarin.

Jika mereka dalam kalangan warga emas, seperti juga rakyat biasa, maka mereka layak mendapatkan skim Manfaat Kesihatan Warga Emas (SCHB) tanpa tunai dengan had maksimum RM500 seorang setiap tahun di klinik atau hospital, di Bumi Kenyalang ini.

Secara rasmi mereka ini digelar Ketua Kaum yang merujuk kepada pemimpin kawasan tempatan berpangkat Tuai Rumah, Kapitan, Ketua Kampung yang dilantik oleh Jawatankuasa Panel Pemilihan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Bahagian.

Ketua Masyarakat pula merujuk kepada pemimpin kawasan tempatan berpangkat Temenggong, Pemanca, Penghulu, yang dilantik oleh Jawatankuasa Panel Pemilihan KMKK Bahagian.

BERITA GEMBIRA

Oleh itu, kenyataan Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg kelmarin bahawa kerajaan Sarawak sedang meneliti skim imbuhan baharu untuk ketua masyarakat dan kaunselor pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negeri bagi memastikan kebajikan mereka lebih terjamin, amat dinantikan.

Menurut Premier Sarawak, kajian yang sedang dijalankan itu bukan hanya menumpukan elaun sedia ada, tetapi turut meliputi aspek lain termasuk penjagaan kesihatan.

Katanya, jawatankuasa khas yang ditubuhkan akan meneliti cadangan secara menyeluruh, termasuk kemungkinan kerajaan menanggung kos rawatan sekiranya golongan berkenaan mendapatkan rawatan di klinik.

Kajian itu dijangka siap dalam tempoh enam bulan dan hasilnya akan digunakan sebagai panduan jangka panjang bagi memperkukuh sistem kebajikan serta penyertaan aktif pemimpin akar umbi dalam pembangunan negeri.

“KAJIAN yang sedang dijalankan bukan hanya menumpukan elaun sedia ada, tetapi turut meliputi aspek lain termasuk penjagaan kesihatan,” – Premier Sarawak ketika berucap merasmikan Seminar Ahli-Ahli Majlis Lokalisasi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2025 di Kuching, kelmarin.

“Kalau ini dilaksanakan, saya percaya tuan-tuan akan terus menyumbang kepada pembangunan negeri melalui idea baharu dengan piawaian antarabangsa,” katanya berucap merasmikan Seminar Ahli-Ahli Majlis Lokalisasi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2025 di Kuching, kelmarin.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, akan mengumumkan butiran lanjut selepas kajian selesai.

Apa yang kita harapkan ialah Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) ini akan menjalankan tugas dengan lebih cekap setelah dinaikkan elaun serta kemudahan rawatan nanti.

Penulis pernah menulis isu KMKK ini pada 5 September 2024 atas tajuk ‘Apa sebenarnya tugas KMKK?’ dan sekali lagi pada 12 Sept 2024 atas tajuk ‘KMKK: Henti budaya bunuh Hang Nadim.’

Hang Nadim, budak lelaki yang tampil dengan idea hebat hingga berjaya menghalang serangan sekumpulan besar ikan todak di Singapura, dikenang kerana keberanian dan kecerdikannya.

Bagaimanapun, beliau tidak bernasib baik apabila dibunuh hanya semata-mata disebabkan oleh sikap sesetengah masyarakat yang kurang berpuas hati dengan idea bernasnya sehingga mendapat perhatian, meskipun ia hanya membabitkan seorang kanak-kanak.

ELAK JADI PENYAMBUT VIP SEMATA-MATA

Dalam masyarakat hari ini, budaya ‘bunuh Hang Nadim’ ini seakan-akan masih wujud. Memilih ketua kaum yang ‘yes men’, adan bukan pilih yang lebih muda lagi bijak?

Masyarakat yang harmoni tunjang perpaduan kaum. Pembinaan keharmonian mesti diwujudkan dalam suasana hidup bermasyarakat. Oleh sebab itu, slogan kata ‘orang tua dihormati, orang muda disayangi’ sebenarnya mempunyai makna yang mendalam.

KEPIMPINAN BAIK…. Seramai 38 Tuai Rumah dan seorang Penghulu berganding bahu jayakan gotong-royong di sepanjang laluan Perhentian Bas dan Pusingan P (P-Turn) di Lebuh Raya Pan Borneo dekat kawasan Awik, Saratok baru-baru ini. Foto Pusat Khidmat ADUN Krian

Apabila saya menulis artikel bertajuk  ‘Apa sebenarnya tugas KMKK?’ tahun lalu, ia antara lain memaparkan keluhan seorang wakil rakyat.

Wakil rakyat ini mempersoalkan karenah sesetengah KMKK yang berfungsi lebih kepada penyambut tetamu VIP di kampung, tetapi gagal untuk merancang keperluan penduduk setempat atau dapatkan maklum balas apa orang kampung mahu.

“Mereka menyerahkan segala-galanya kepada wakil rakyat sama ada Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk merancang pembangunan setempat. Wakil rakyat perlu idea pemimpin bawahan seperti ketua kaum yang sentiasa bersama rakyat. Bukankah elok jika KMKK ini bermesyuarat secara berkala mencari idea projek pembangunan kampung?,” katanya.

Berikutan itu, paparan ini mendapat reaksi meluas yang pelbagai daripada pembaca dan warganet yang mahu pemimpin masyarakat ‘lemah’ seperti itu ditukar, adakan pemilihan secara telus, adakan petunjuk prestasi utama (KPI) dan jangan lantik kerana seseorang itu ada ‘talian hayat’ dengan pihak tertentu tetapi gagal menjalankan tugas seperti diharapkan.

Oleh itu, apabila kerajaan Sarawak mengumumkan kadar elaun baharu serta kemudahan lain untuk ketua masyarakat nanti, maka kaedah pemilihan mereka ke jawatan itu perlu dikaji semula.

Lantiklah mereka dalam kalangan yang rajin bekerja, jujur, celik teknologi sedikit, bernas melempar idea untuk pembangunan kampung atau rumah panjang dan lantik secara merit bukan kerana ‘kawan’.

Jika itu berjaya dilakukan, maka terhakislah cop ketua kaum cuma ‘tukang sambut kedatangan VIP’ sahaja.

Dengan itu, maka layaklah mereka diberi elaun sekurang-kurangnya sama paras dengan gaji pokok minimum RM1,700 sebulan?

  • Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak
Tags: Kadir Dikoh

Continue Reading

Previous: PRN Sabah: Dinamika kuasa, isu rakyat dan masa depan kepimpinan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.