
KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyambut baik pengesahan kehadiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 yang dijadual berlangsung di Malaysia pada Isnin ini.
Abang Johari berkata, penyertaan Trump dalam sidang kemuncak tersebut amat signifikan kerana ia memberi peluang kepada pemimpin kuasa besar dunia itu memahami dengan lebih mendalam dinamika geopolitik serta cabaran ekonomi di rantau Asia-Pasifik.
“Selamat datang ke Malaysia, supaya Donald Trump dapat meneliti sendiri perkembangan geopolitik di rantau ini. Saya yakin Perdana Menteri akan menggunakan kebijaksanaan beliau dalam berbincang, khususnya mengenai kesan dasar tarif Amerika terhadap iklim pelaburan serantau. Diharapkan para pemimpin ASEAN dapat mencari jalan penyelesaian yang baik terhadap isu ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) Ke-8 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.
Terdahulu, Trump dilaporkan telah mengesahkan penyertaannya ke Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 yang bakal menghimpunkan pemimpin tertinggi negara-negara Asia Tenggara bagi membincangkan pelbagai isu serantau termasuk kerjasama ekonomi dan keselamatan.
Oleh Shikin Mahmud & Norman B