
BANGKOK: Timbalan Menteri Kewangan Thailand Vorapak Tanyawong meletak jawatan hari ini susulan dakwaan yang mengaitkannya dengan operasi pusat penipuan di negara itu dan Kemboja.
Vorapak berkata beliau telah memaklumkan kepada Perdana Menteri Anutin Charnvirakul mengenai hasratnya untuk berundur dan Anutin menghormati keputusannya.
Beliau berkata keputusan itu dibuat semata-mata bagi melindungi integriti kerajaan dan memastikan operasinya tidak terjejas oleh dakwaan berkenaan, sambil menegaskan bahawa beliau tidak didesak meletak jawatan.
“Saya ingin menegaskan bahawa saya sama sekali tidak pernah terlibat dengan sebarang skim penipuan atau perniagaan haram, sama ada di Kemboja atau di mana-mana bahagian dunia. Tuduhan yang mengaitkan saya dengan operasi penipuan adalah sama sekali tidak berasas.
“Saya tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenai perkara itu kerana saya tidak pernah terlibat. Oleh itu, saya akan membiarkan sistem kehakiman menyiasat fakta sebenar. Saya tidak menyokong atau melindungi sesiapa yang melanggar undang-undang,” katanya.
Vorapak berkata beliau bersedia bekerjasama dengan pihak berkuasa yang menyiasat perkara itu.
Beliau mendakwa terdapat individu tertentu yang baru-baru ini menyebarkan maklumat palsu dengan mengaitkan namanya kepada pelbagai rangkaian penipuan bagi mencemarkan reputasinya, sambil menambah bahawa beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang memfitnahnya.
Semalam media tempatan Thailand melaporkan bahawa Anutin telah meminta Vorapak mengemukakan penjelasan bertulis berhubung dakwaan kaitannya dengan rangkaian penipuan di Asia Tenggara.- Bernama