Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • MAHKAMAH
  • Mahkamah putus 17 Nov rayuan Najib, anak tangguh prosiding kebankrapan
  • MAHKAMAH

Mahkamah putus 17 Nov rayuan Najib, anak tangguh prosiding kebankrapan

Utusan Sarawak 2 days ago
DATUK Seri Najib Razak. Foto BERNAMA (Gambar fail)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 17 November ini bagi keputusan rayuan Datuk Seri Najib Razak dan anaknya, Datuk Mohd Nazifuddin, terhadap keputusan mahkamah sama yang menolak permohonan mereka untuk menangguhkan prosiding kebankrapan.

Prosiding itu dimulakan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) selepas kedua-dua mereka gagal melunaskan tunggakan cukai masing-masing berjumlah RM1.69 bilion dan RM37.6 juta.

Pesuruhjaya Kehakiman, Suhendran Sockanathan @ Saheran Abdullah, menetapkan tarikh berkenaan selepas mendengar hujahan peguam, Muhammad Farhan Muhammad Shafee, yang mewakili Najib dan Nazifuddin, manakala LHDN diwakili Peguam Kanan Hasil, Norhisham Ahmad.

Pada 16 Okt 2023, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa kedua-dua beranak itu perlu melunaskan cukai tertunggak selepas menolak rayuan mereka untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

Najib dan Nazifuddin merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan LHDN untuk memasukkan penghakiman terus dalam kes tunggakan cukai terhadap mereka.

Penghakiman terus ialah keputusan yang dibuat mahkamah berdasarkan hujahan bertulis tanpa memanggil saksi memberi keterangan dalam perbicaraan.

Dua Mahkamah Tinggi berasingan sebelum ini membenarkan permohonan LHDN untuk memasukkan penghakiman terus bagi mendapatkan semula tunggakan cukai daripada Najib dan anaknya bagi tempoh 2011 hingga 2017.

Pada September 2021, Mahkamah Rayuan menolak rayuan mereka untuk mengetepikan penghakiman itu, sebelum Mahkamah Persekutuan pada 10 Mei 2022 memberi kebenaran kepada mereka untuk meneruskan rayuan di peringkat tertinggi.

Terdahulu, Muhammad Farhan berhujah bahawa penangguhan prosiding kebankrapan tidak akan menjejaskan kepentingan Kerajaan Malaysia sebagai pemiutang penghakiman.

Menurutnya rayuan yang difailkan Najib dan Nazifuddin kepada Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (SCIT) bagi menyemak semula penilaian cukai yang dipertikaikan akan menjadi sia-sia sekiranya prosiding kebankrapan diteruskan dan perintah kebankrapan dikeluarkan.

“Kegagalan menangguhkan prosiding kebankrapan akan menggagalkan rayuan yang masih berjalan di hadapan SCIT kerana keputusan yang memihak kepada mereka kelak tidak lagi memberi kesan praktikal,” katanya.

Bagaimanapun, Norhisham berhujah bahawa prosiding kebankrapan terhadap bekas Perdana Menteri dan anaknya adalah tindakan sah mengikut undang-undang kerana mereka gagal menjelaskan hutang penghakiman.

Katanya pemiutang penghakiman iaitu LHDN berhak mengambil langkah segera untuk mendapatkan semula jumlah hutang selepas rayuan mereka ditolak oleh Mahkamah Persekutuan pada 16 Oktober 2023.

“Dalam proses mendapatkan semula cukai, pemiutang hanya melaksanakan penghakiman kewangan yang gagal dipenuhi penghutang,” katanya sambil menambah bahawa tiada kelewatan disebabkan oleh LHDN atau Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri.

“Oleh itu, tiada keadaan khas atau alasan munasabah untuk mahkamah ini membenarkan penangguhan prosiding kebankrapan,” katanya.

-BERNAMA

Tags: mahkamah

Continue Reading

Previous: Kes tikam pelajar perempuan: Remaja lelaki didakwa membunuh
Next: Tangisan Zara Qairina “Aku nda curi bah” jadi detik terakhir diingati rakan sebilik

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.