
KUALA LUMPUR: Sebanyak 2,852 majikan telah memohon untuk menyertai Dasar Gaji Progresif (DGP) yang diperkenalkan bagi mereformasi pasaran buruh dengan matlamat meningkatkan pendapatan pekerja selari dengan peningkatan produktiviti.
Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Hanifah Hajar Taib berkata daripada jumlah itu, sebanyak 1,966 majikan telah menaikkan gaji mengikut garis panduan yang ditetapkan, setakat semalam, melibatkan sebanyak 20,737 pekerja.
“Sebanyak 79.5 peratus daripada majikan yang telah berdaftar dan menaikkan gaji adalah daripada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan melibatkan 47.1 peratus jumlah pekerja.
“Pelanjutan DGP atau jumlah insentif yang diberikan akan ditentukan oleh kerajaan berdasarkan kedudukan fiskal negara,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) mengenai penilaian terkini terhadap pelaksanaan DGP khususnya kesan kepada PMKS serta insentif fiskal tambahan yang dirancang bagi memastikan penyertaan sektor swasta tidak terbantut.
Hanifah Hajar berkata pelaksanaan DGP memberikan pendedahan untuk meningkatkan pengetahuan khususnya dalam aspek teknologi meskipun kebanyakan syarikat menghadapi kekangan kewangan bagi peningkatan pengetahuan.
“Apabila dari segi kepakaran dapat ditingkatkan, maka dari segi ruang untuk memperlebar jurusan perkhidmatan akan lebih luas lagi.
“Kita mengharapkan dengan peluasan teknologi, kefahaman dan pengetahuan, maka ia meningkatkan kepastian bahawa penyerapan untuk semua bilangan industri dapat diperkukuh,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Mohd Syahir yang ingin tahu sama ada kerajaan yakin pelaksanaan projek rintis DGP melibatkan firma-firma dan PMKS itu adalah secara sukarela dan bukan secara wajib mampu memberi gambaran sebenar keberkesanan dasar tersebut.- Bernama