Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • ‘Snapshots of Sarawak’ rakam jiwa negeri
  • TEMPATAN

‘Snapshots of Sarawak’ rakam jiwa negeri

Utusan Sarawak 1 day ago
MENARIK…Datuk Snowdan Lawan menunjukkan sebahagian daripada kandungan buku Snapshots of Sarawak pada sidang media Pelancaran Buku Meja Kopi Snapshots of Sarawak 2025 di Bangunan Baitul Makmur II di sini, hari ini.

PETRA JAYA: Keindahan landskap, keunikan budaya serta kehidupan masyarakat berbilang kaum di Sarawak kini diabadikan dalam bentuk visual menerusi penerbitan buku meja kopi ‘Snapshots of Sarawak’, sebuah karya fotografi yang menghimpunkan ratusan detik berharga tentang negeri ini.

Dihasilkan oleh lebih 70 jurufoto profesional dengan hampir 300 gambar terbaik, buku ini menjadi wadah dokumentasi yang menonjolkan keaslian Sarawak melalui perspektif seni visual yang mengagumkan.

Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Snowdan Lawan berkata, buku berkenaan bukan sekadar koleksi foto indah tetapi juga aset pelancongan bernilai tinggi yang memperlihatkan jiwa dan identiti negeri ini.

“Buku ini membolehkan dunia mengenali Sarawak bukan sekadar melalui kata-kata, tetapi menerusi penceritaan visual yang menyentuh hati dan membangkitkan rasa ingin tahu.

“Lebih daripada nilai seni, buku ini turut menjadi arkib hidup yang mendokumentasikan kenangan budaya serta kepelbagaian masyarakat kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sidang media Pelancaran Buku Meja Kopi Snapshots of Sarawak 2025 di Bangunan Baitul Makmur II di sini, hari ini.

Snowdan turut menyarankan agar buku itu dijadikan bahan rujukan dan paparan utama di setiap hotel, agensi kerajaan serta pusat pelancongan bagi memperkenalkan keindahan Sarawak kepada pengunjung tempatan dan antarabangsa.

“Bayangkan tetamu luar negara yang menginap di hotel-hotel di Kuching, Miri, Sibu atau Bintulu membuka buku ini, mereka bukan hanya melihat gambar, tetapi memahami kisah sebenar tentang Sarawak,” ujarnya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Fotografi Sibu, Peter Lee Pui Weng berkata, buku setebal 300 muka surat itu menghimpunkan karya pemenang pelbagai pertandingan fotografi anjuran Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP) antara 2022 hingga 2024.

Katanya, selain menjadi platform memperagakan karya seni fotografi, penerbitan ini juga berperanan mempromosikan pelancongan serta mengukuhkan rasa bangga terhadap identiti negeri.

“Menerusi perjalanan visual ini, kami berharap dapat menginspirasi lebih ramai pengembara untuk meneroka keindahan dan pesona Sarawak.

“Kepada semua jurufoto yang menyumbangkan karya, anda bukan sekadar merakam imej tetapi turut memelihara jiwa dan cerita Sarawak,” katanya.

Untuk rekod, buku meja kopi itu merupakan inisiatif Persatuan Fotografi Sibu dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP).

Oleh Shahrul Qaizat

Continue Reading

Previous: SACOFA dan ZTE Malaysia jalin kerjasama strategik pacu transformasi digital Sarawak
Next: Eksklusif: Krisis adab era digital, pelajar kian hilang hormat dan arah

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.