Sarkozy dipenjara, nafi salah laku dalam kes dana Libya

Facebook
WhatsApp
Bekas Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy (kiri), bersama isterinya Carla Bruni-Sarkozy, meninggalkan kediaman mereka untuk menyerahkan diri ke Penjara La Santé bagi menjalani hukuman penjara lima tahun selepas disabitkan atas kesalahan konspirasi jenayah berkaitan rancangan mendapatkan dana daripada mendiang diktator Libya, Moamer Kadhafi, bagi membiayai kempen pilihan rayanya pada 2007, di Paris, hari ini. Foto AFP

PARIS, PERANCIS: Bekas Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy, 70, menjadi bekas ketua negara Kesatuan Eropah pertama yang dipenjara hari ini selepas disabitkan bersalah atas konspirasi jenayah berkaitan dakwaan dana pilihan raya dari Libya.

Sarkozy menegaskan dirinya tidak bersalah, dengan berkata di X: “Bukan bekas presiden republik yang dipenjarakan hari ini, tetapi seorang insan yang tidak bersalah.”

Beliau kini ditahan di Penjara La Santé, Paris, dalam sel bersendirian berukuran 9 meter persegi. Beliau dibenarkan keluar sehari sekali untuk berjalan bersendirian dan menerima lawatan tiga kali seminggu.

Walaupun telah memfailkan rayuan, peguamnya menjangka beliau akan berada dalam tahanan sekurang-kurangnya tiga minggu hingga sebulan.

Bekas Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy, tiba dengan kenderaan polis di Penjara La Santé bagi menjalani hukuman penjara lima tahun selepas disabitkan atas kesalahan konspirasi jenayah berkaitan rancangan mendapatkan dana daripada mendiang diktator Libya, Moamer Kadhafi, untuk membiayai kempen pilihan rayanya pada tahun 2007, di Paris, hari ini. Foto AFP

Sarkozy sebelum ini disabitkan dalam dua kes lain dan sedang menunggu keputusan kes ketiga bulan depan. Namun mahkamah membebaskannya daripada tuduhan menerima atau menggunakan dana Libya secara langsung.

Tinjauan mendapati 60 peratus rakyat Perancis menganggap hukuman itu adil, namun beliau masih mendapat sokongan kuat daripada sayap kanan dan baru-baru ini bertemu Presiden Emmanuel Macron sebelum ditahan. -AFP